AADK, PDRM kekang kemasukan bekalan dadah

Last Updated on

KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia akan mempertingkatkan usaha menyekat kemasukan bekalan dadah di kawasan-kawasan berisiko tinggi seperti penempatan Felda dan Program Perumahan Rakyat.

Tanpa mendedahkan strategi yang akan dilaksanakan, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata pihaknya mengenal pasti kemasukan dadah jenis pil kuda dan syabu ke kawasan itu adalah kerana harganya lebih murah, lapor Sinar Online yang memetik Bernama.

Menurut beliau lagi, AADK akan menentukan sama ada bekalan dadah dapat disekat atau diminimumkan, namun beliau menyatakan sekiranya ia dapat dibanteras sepenuhnya, itu adalah lebih baik.

Ini bagi menghalang penagih mendapat bekalan selain bekas penagih kembali menggunakan dadah sekiranya kembali ke kawasan berisiko tinggi ini, jelas beliau kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Beliau berkata untuk tahun ini, penagih yang telah pulih tidak akan dihantar ke kampung halaman masing-masing sebaliknya akan ditempatkan di kawasan lain. Ini bagi mengelak stigma negatif masyarakat terhadap bekas penagih.

“Di lokasi baharu, orang ramai tidak kenal mereka dan mereka boleh mulakan kehidupan baharu,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya mengesyorkan ibu bapa yang anaknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *