Apabila kerabat diraja ceburi politik

Last Updated on

Oleh Dr. Azmi Hassan

Akhirnya impian Puteri Ubolratana Rajakanya kerabat diraja Thailand untuk bertanding sebagai calon Parti Thai Raksa Chart dalam pilihanraya 24 Mac akan datang tidak kesampaian apabila Suruhanjaya Pilihanraya Thailand menolak pencalonan beliau.

Puteri Ubolratana Rajakanya. FOTO: UTUSAN

Puteri Ubolratana bukan kerabat diraja sembarangan kerana beliau adalah kakak kepada Raja Thailand ketika ini iaitu Maha Vajiralongkorn. Ironisnya pembatalan calon Ubolratana berkait dengan bantahan Vajiralongkorn sebelum ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh suruhanjaya memperincikan sebab pembatalan dengan mengambil kira kerabat diraja seharusnya mengambil pendirian tidak menyebelahi mana-mana parti politik iaitu berkecuali dan sepatutnya berada diluar lingkaran dunia politik.

Perlu ditekankan Puteri Ubolratana juga dianggap sebagai calon Perdana Menteri bagi Parti Thai Raksa Chart mendapat sokongan padu dari Parti Pheu Thai yang memenangi pilihanraya pada 2011 yang pada ketika itu dipimpin oleh Yingluk Shinawatra yang kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Amat difahami mengapa penglibatan kerabat diraja dalam politik Thailand dianggap begitu sensitif kerana negara itu mempunyai perundangan yang agak ketat untuk melindungi kepentingan institusi diraja. Perundangan yang dikenali sebagai Lese Majeste ini memberi peruntukan untuk menghukum mereka yang mengkritik apa jua yang berkait dengan kerabat diraja Thailand. Sebab itu dikhuatiri penglibatan Puteri Ubolratana akan berlawanan dengan kehendak perundangan tersebut.

Tetapi di Malaysia penglibatan kerabat diraja dalam arena politik sudah dianggap suatu fenomena yang begitu lumrah dan status istimewa tersebut tidak memberi halangan seperti yang berlaku di Thailand. Malah kerabat diraja Kelantan iaitu Tengku Tan Sri Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah iaitu Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Dewan Rakyat adalah manifestasi bagaimana status kerabat diraja tidak menghalang untuk beliau menceburi bidang politik.

Sumbangan Tengku Razaleigh yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li dalam arena politik bukan sedikit terutama terutama sekali ketika beliau menjadi Menteri Kewangan. Ku Li juga akan dikenang sebagai kerabat diraja yang sinonim dengan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan juga bertanggung jawab menubuhkan parti politik Semangat 46.

Bukan Ku Li sahaja kerabat diraja yang terlibat dalam politik kerana ramai lagi turut juga berkecimpung dan ada juga yang dilantik dalam jawatan kabinet. Begitu jua dengan Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kerabat diraja Terengganu, Tengku Puteri Zahariah binti Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang lebih dikenali sebagai Ku Yah dari kerabat diraja Selangor dan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang kini menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan adalah antara kerabat diraja yang sinonim dengan politik Malaysia.

Fenomena penglibatan kerabat diraja dalam politik adalah manifestasi keunikan sistem monarki Malaysia dan juga keterbukaan rakyat itu sendiri yang menerima kehadiran kerabat diraja dalam sistem politik harian. Walaupun Malaysia juga mempunyai beberapa peruntukan perundangan yang melindungi kepentingan berkait institusi diraja walaupun tidak seketat seperti yang dimiliki Thailand, ahli politik kerabat diraja Malaysia ini tahu menyesuaikan keadaan.

Tidak timbul isu ahli politik kerabat diraja mendapat keistimewaan kerana dalam dunia politik, semua dianggap sama rata. Tidak timbul juga isu ahli politik kerabat diraja tidak boleh dikritik kerana dalam dunia politik, kritikan dan komen sama ada benar atau salah adalah proses lumrah dunia politik.

Berbalik kepada isu Puteri Ubolratana yang ditegah berkecimpung dalam politik, beliau sebenarnya telah mengistihar menjadi rakyat biasa tanpa gelaran diraja apabila berkahwin dengan Peter Ladd Jensen pada 1972 dan dalil ini sebenarnya digunakan beliau untuk ceburi arena politik.

Ironisnya juga tiada halangan untuk Puteri Ubolratana menceburi dunia lakonan dan kali terakhir berlakon dalam filem Thai yang bertajuk ‘My Best Bodyguard’ pada 2010 dan Neung Jai Diaokan (Keajaiban Berlaku) pada 2008 yang mana beliau memegang peranan watak utama.      

 *Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *