Aplikasi EasyKitt alternatif selesai masalah

Last Updated on

Lima pelajar PMJB menunjukkan ciptaan mereka yang dinamakan EasyKitt.

KUALA LUMPUR – Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB) di Johor Bharu terus berinovasi dan kali ini menerusi ciptaan alat untuk kegunaan industri yang dinamakan ‘EasyKitt’.

Alat berkenaan yang berbentuk aplikasi mudah alih ini dihasilkan oleh lima pelajar PMJB yang sedang menjalani latihan praktikal yang dikenali dengan Work Based Learning (WBL) di industri logistik yang diketuai Amira Suhaimi bersama Saifuldin Jabar, Mohamad Iman Amienuddin Mohd Aris, Arif Hidayat Syafrizal dan Muhamad Hanaffi Ngadi.

Kesemua pelajar ini merupakan pelajar semester akhir Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan.

Menurut penyelia projek yang juga merupakan Pensyarah PMJB, Nurzarimah Jamil, projek inovasi EasyKitt ini merupakan alternatif bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi industri terutama dalam sistem penyimpanan dan merekod barang-barang di gudang penyimpanan.

Sebelum adanya EasyKitt, setiap rekod penyimpanan barang-barang dilakukan secara manual, namun kini semua boleh dilakukan dengan lebih mudah. Tambahan pula EasyKitt merupakan satu aplikasi mudah alih yang boleh digunapakai di mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Menurut Nurzarimah ia amat sesuai digunakan di gudang penyimpanan barang kerana aplikasi ini dapat merekod inventori barang-barang yang disimpan, lokasi gerakan barang-barang tersebut dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas barang-barang tersebut,” katanya, sebagaimana laporan Sinar Harian.

Selain itu, aplikasi ini juga membantu dalam merekod setiap projek pemasangan barang-barang tersebut.

Projek inovasi EasyKitt ini akan dipertandingkan di Borneo Innovation Festival (BIF 2019) di Mukah, Sarawak pada Mac nanti.

Beliau amat berbangga dan menganggap ia satu penghargaan buat pelajar PMJB yang mencipta inovasi aplikasi mudah alih ini kerana ia adalah bukti bahawa pelajar bukan dari jurusan Teknologi Maklumat mampu untuk mencipta inovasi berkaitan bidang ini.

Beliau berkata, sehingga kini beberapa pihak industri menunjukkan minat menggunakan aplikasi mudah alih EasyKitt yang dapat menjimatkan kos dan tenaga pekerja.

Justeru itu beliau merancang untuk mempatenkan penciptaan aplikasi ini dalam jangka masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *