Angkara berjudi, pengurus dakwa disamun

Last Updated on

KUALA LUMPUR – Polis menahan pengurus stesen minyak di Bukit Mertajam yang mendakwa wang tunai berjumlah RM35,000 kutipan hasil jualan seminggu premis itu disamun seorang lelaki tidak dikenali Selasa lepas, semalam selepas disyaki sengaja mereka-reka kejadian itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Tengah Asisten Superintendan Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, wanita berumur 59 tahun itu disiasat kerana membuat laporan palsu selepas polis memperoleh maklumat wang tunai yang dikatakan disamun itu sebenarnya diambilnya dengan sebahagian sudah dibelanjakannya untuk berjudi dan menyambut Tahun Baharu Cina, lapor Sinar Online yang memetik Bernama.

“Sebelum ini, wanita itu melaporkan beg tangannya yang mengandungi wang tunai itu serta barangan peribadi lain diragut seorang lelaki yang kemudiannya lari ke bahagian belakang stesen minyak. Keraguan timbul selepas bahagian belakang stesen itu didapati terdapat dinding zink tinggi yang tidak mungkin dapat dilalui sesiapa,” katanya.

Menurutnya rakaman kamera litar tertutup yang diperoleh juga tidak menunjukkan sebarang kejadian samun yang didakwa oleh wanita berkenaan.

Perintah reman terhadap wanita itu akan dipohon hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *