Azmi Sharom dilantik Timbalan Pengerusi SPR

Last Updated on

Dr. Azmi Sharom FOTO: SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pelantikan Prof Madya Dr Azmi Sharom sebagai Timbalan Pengerusinya yang baharu.

Selain Azmi, turut dilantik ialah empat Ahli SPR iaitu Datuk Seri Ramlan Ibrahim, Datuk Chin Phaik Yoong, Prof Madya Dr Faisal S Haziz dan Zoe Randhawa.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dalam satu kenyataan di Putrajaya berkata, pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Shah.

Pelantikan-pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh mereka melaporkan diri sebagai anggota SPR sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Azmi yang memiliki kelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari University of London merupakan pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, manakala Ramlan merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri.

Phaik Yoong pula adalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Kementerian Sumber Manusia.

Sementara itu, Faisal merupakan Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Zoe Randhawa pula adalah pakar rujuk Bersih 2.0.

SPR kini diterajui oleh Azhar Azizan Harun sebagai Pengerusi.

Leave a Reply