Saifuddin hubungi TPM Kemboja bincang soal tahanan Malaysia

Last Updated on

Kerajaan sedang berusaha membawa pulang tahanan Malaysia di Kemboja – Foto SInar Harian

PUTRAJAYA, 14 Februari – Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn, yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa bagi menzahirkan hasrat Malaysia agar kesemua 47 warga Malaysia yang kini ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey dibebaskan segera.

Saifuddin berkata, beliau turut menyampaikan penghargaan kerajaan Malaysia atas kerjasama yang diberikan kerajaan Kemboja terutamanya dalam membenarkan beberapa lawatan konsular daripada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh terhadap tahanan tersebut.

Ketika menghubungi Sokhonn, Saifuddin menyampaikan rasa terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja itu atas keprihatinan beliau dalam perkara itu.

“Saya juga memohon supaya pihak Kemboja dapat memberikan kerjasama dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua pegawai kanan Wisma Putra yang terdiri daripada Setiausaha Bahagian Konsular dan Ketua Bahagian Undang-Undang Kementerian Luar telah bertolak ke Banteay Meanchey hari ini untuk meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung penahanan warga Malaysia.

Khamis lepas, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu, atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Beliau telah menekankan bahawa Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang Kemboja dan kerajaan Malaysia sentiasa mengingatkan rakyatnya supaya mematuhi undang-undang tempatan di mana jua mereka berada.

Saifuddin dalam pada itu berkata Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad telah berada di Banteay Meanchey sejak semalam untuk memberikan bantuan konsular berterusan kepada warga Malaysia yang ditahan.

Berdasarkan berita Sinar Harian yang memetik laporan Bernama, lawatan konsular itu merupakan susulan kepada bantuan konsular yang diberikan oleh pegawai Kedutaan Besar pada 22 Jan lepas.

Kedutaan Besar Malaysia juga telah memudah cara lawatan Anggota Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama beberapa anggota keluarga tahanan untuk membuat lawatan ke Penjara Banteay Manchey hari ini.

Atas inisiatif kedutaan, Saifuddin berkata seorang doktor daripada badan bukan kerajaan, Hospital Beyond Boundaries, turut serta dalam lawatan itu untuk memastikan tahap kesihatan mereka berada di tahap yang baik.

“Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes ini dengan rapi dan akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam usaha mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga di Malaysia,” ujar beliau.

Leave a Reply