Polis nasihat persembahan teater dihentikan

Last Updated on

Antara poster yang diletakkan di hadapan Stage 2, Penangpac yang menimbulkan kekeliruan pelbagai pihak dan poster pertama teater itu (kanan) dikeluarkan sebelum ditukar kepada tajuk Love In Georgetown City.

GEORGETOWN – Polis telah menasihatkan penganjur teater ‘Love In Georgetown City’ agar tidak meneruskan persembahan selepas berlakunya beberapa kekeliruan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, penganjur dinasihatkan berbuat demikian kerana kesilapan dalam membuat hebahan mengenai teater tersebut sehingga menyebabkan kekeliruan.

Menurutnya, bagaimanapun, keputusan untuk memberhentikan persembahan itu bergantung kepada Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

“Pelesenan tempat hiburan adalah di bawah MBPP dan saya telah memanggil pihak pelesenan untuk berbincang dengan penganjur. Mereka dinasihatkan agar tidak meneruskan persembahan di atas kesilapan iklan dan kekeliruan yang timbul.

“Oleh demikian, sama ada akan teruskan persembahan atau tidak, itu bergantung kepada budi bicara Jabatan Pelesenan MBPP kerana ia di bawah kuasa mereka, bukannya polis. Namun, polis akan memantau rapi persembahan ini.

“Sekiranya terdapat adegan lucah yang dipersembahkan, polis boleh menghentikan terus persembahan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya, dalam pemantauan semalam iaitu hari pertama teater itu dipersembahkan, polis mendapati tiada persembahan berbentuk lucah.

“Ia adalah sketsa komedi. Bagaimanapun kesilapan penganjur apabila membuat poster iklan yang memberi gambaran bahawa persembahan teater itu mengandungi persembahan lucah.

“Oleh kerana kekeliruan ini, maka wujudlah perasaan tidak puas hati beberapa pihak bahawa terdapat perkara-perkara maksiat sedang dianjurkan,” katanya.

Difahamkan, penganjur teater Love In Georgetown City akan membatalkan teater yang dijadualkan akan membuat persembahan selama empat hari itu.

Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan dan difahamkan, pengarah dan penulis Big Nose Production, Fa Abdul akan mengeluarkan kenyataannya hari ini.

Semalam, sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Islam berkumpul di hadapan Stage 2, Penangpac, Straits Quay bagi membantah penayangan teater kontroversi, ‘Love In Georgetown City’.

Mereka mendakwa, Fa Abdul telah berselindung di sebalik seni untuk mempersembahkan teater yang didakwa berbaur lucah kepada orang awam.

Tambah mereka, penayangan teater itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati Perlembagaan kerana menggalakkan amalan seks bebas dan songsang di kalangan golongan muda. – SINAR ONLINE

Leave a Reply