Tidak cenderung bukan bererti anti

Last Updated on

Oleh Dr Yahya Mat Som

SEJAK akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan dengan tindakan kumpulan atau individu tertentu yang mempertikaikan hak keistimewaan bumiputera, agama persekutuan, dan kedudukan raja-raja Melayu.

Adakah mereka ini cenderung kepada falsafah Malaysia yang bebas bangsa, agama dan raja berperlembagaan?

Adakah pertikaian ini didasarkan kepada ketidakcenderungan mereka terhadap perlembagaan negara, atau tindakan ini boleh dianggap sebagai anti perlembagaan?

Atau mereka keliru dengan konsep dan falsafah affirmative action dalam sosio-ekonomi, sosio-budaya, dan sosio-pendidikan ala Malaysia?

Jika dilihat dari sudut akademik, tidak cenderung dapat ditafsir sebagai tidak menyukai sesuatu perkara tetapi tidak mempunyai perasaan benci kepada perkara tersebut.

Sementara sikap anti diterjemahkan dan direalisasikan melalui pemikiran dan tindakan kerana membenci, menolak, dan menentang.

Pada kebiasaannya, setiap agama dan bangsa menggariskan bahawa sikap meluahkan kebencian tanpa batas untuk menyakiti golongan lain adalah sesuatu yang tidak bermoral dan melampau.

Tambah membimbangkan jika tindakan ini boleh mencalar keharmonian masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Rasanya tidak sukar untuk memahami kesan penentangan kumpulan tertentu terhadap amalan kontrak sosial dan pemuafakatan masyarakat yang sudah terjalin sejak sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

Kontrak sosial dan pemuafakatan masyarakat sudah terjalin sejak sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.

Persoalannya, mengapa terdapat kumpulan tertentu yang menganggap perlembagaan negara sebagai tidak adil sedangkan mereka mempunyai peluang yang sama dalam pembangunan ekonomi, bidang pendidikan, bebas untuk berpolitik, dan mengamalkan budaya masing-masing tanpa sebarang sekatan dan kekangan?

 Adakah mereka tamak, jahil atau keliru?

Amat malang kepada negara apabila ada kumpulan yang menuntut kecenderungan identiti kumpulan dengan mempertikaikan hak keistimewaan golongan lain.

Lebih merisaukan apabila kecenderungan ideologi kumpulan digunakan sebagai senjata untuk menghina dan menanamkan sifat kebencian terhadap golongan yang diberi keistimewaan oleh perlembagaan.

Perlembagaan negara Malaysia bersifat adil kerana memberi peluang yang sama kepada rakyat dalam pembangunan ekonomi, bidang pendidikan, bebas untuk berpolitik, dan mengamalkan budaya masing-masing tanpa sebarang sekatan dan kekangan.

Sorotan dari situasi ini, adakah golongan yang mempertahankan hak keistimewaan supaya  tidak terhakis dan ternoda layak digelar rasis, tidak bertamadun, dan jumud? Namun, inilah hakikatnya.

Lebih kurang 22 tahun lalu ketika negara berhadapan dengan revolusi politik, generasi muda didendangkan dengan sikap memaki hamun, propaganda dilunakkan dengan memperlekeh pemimpin, dan emosi dirangsang untuk menengking kumpulan yang berbeza ideologi.

Kesannya, sikap meluahkan kebencian menjadi norma kehidupan masyarakat Malaysia sehingga ke hari ini.  

Amat dikhuatiri jika perlakuan seperti ini berterusan, aspirasi untuk melahirkan generasi pelapis yang berintegriti dan saling hormat-menghormati akan cacat dan terencat.

Adakah ini rupa bentuk budaya ketimuran yang Malaysia boleh banggakan dan promosikan kepada dunia untuk dijadikan sebagai suri teladan?

Malaysia tidak boleh berbangga dan dianggap berintegriti dengan hanya merujuk kepada aspek-aspek bebas rasuah, pengurusan yang cekap, dan kemajuan ekonomi yang mampan.

Bagaimana pula dengan aspek keharmonian antara kaum yang tergugat dan perasaan saling menghormati yang pincang?

Adalah tidak memadai untuk melihat rakyat berbilang kaum yang berbangga dengan ikatan palsu melalui sambutan perayaan keagamaan dan etnik yang diraikan bersama dengan gah dan penuh meriah.

Sebaliknya, dapat dirasakan dengan jelas bahawa setiap kumpulan politik, kaum dan agama berasa cemas memikirkan bilakah mereka akan dibaham oleh kumpulan yang bersaing.

Hubungan harmoni antara kaum akan terjejas apabila perasaan saling menghormati mula pincang.

Dari sudut kebebasan beragama pula, adakah benar umat Islam negara ini terasa tercabar dengan perkembangan suasana politik ketika ini?

Adakah umat Islam berada dalam keadaan panik dengan pembaharuan yang bertubi-tubi dan melangkaui pemikiran tradisional?

Agak sukar untuk dinilai dan disimpulkan apa yang sebenarnya terjadi kerana semua pihak yang berkepentingan mempunyai hujah dan kewajaran yang memukau dan menggoda.

Masing-masing ingin memikat dan memerangkap pengikut dengan konsep, ideologi dan falsafah kumpulan.

Setiap kumpulan mendabik dada bahawa mereka berada di pihak yang benar. Namun, dalam konteks negara yang berkonsepkan melting pots, sudah sewajarnya tindakan masyarakat homogeneous matang tidak sepatutnya cuba menjentik butang panas yang boleh merobek semangat saling mempercayai dan bergantungan antara satu sama lain.

Sementara Islam mengharamkan sikap tidak adil dan berfahaman sempit. Pada masa yang sama, Islam menggariskan batas keadilan dengan prinsip bahawa Islam adalah agama tauhid dan benar.

Maka setiap pencabulan terhadap prinsip ini tidak sepatutnya diberi laluan mudah dan akan berhadapan dengan respons yang tiada bertitik nokhtah.

Marilah kita fikirkan, di mana keagungan falsafah ketauhidan dalam Islam dan kepatuhan kepada syariah jika sekularisme dan liberalisme menjadi hala tuju negara?

Namun, perlukah kita bersikap anti dalam memperjuangkan kecenderungan identiti kumpulan sama ada kita berpegangan kepada ideologi agama, sekular atau ateis?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply