Teruskan amal sikap toleransi

Last Updated on

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan tetamu ketika hadir Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia supaya terus mengamalkan sikap toleransi kerana ia adalah kunci kepada pembangunan dan keamanan negara.

Walaupun negara terdiri dari masyarakat berbilang kaum dan agama, tiada permusuhan sesama sendiri sebaliknya bekerjasama meraikan bersama hari kebesaran masing-masing.

Beliau berkata demikan ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio di Seremban malam ini, menurut laporan Sinar Online yang memetik Bernama.

Beliau memberi contoh jumlah kehadiran ramai pada majlis itu menunjukkan perasaan persahabatan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan terhad kepada pemimpin sahaja malah semua rakyat.

Membandingkan dengan rakyat kebanyakan negara lain yang menganut agama sama namun tidak dapat hidup aman kerana tiada sikap toleransi sehingga menyebabkan negara itu dilanda peperangan, beliau menyeru raykat di negara ini memperkukuh dan meneruskan sikap bertolak ansur ini.

Ini kerana keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati rakyat ketika ini membolehkan masyarakat menyumbang kepada pembangunan negara dengan lebih pesat berbanding negara-negara lain.

“Sebab itu rakyat Malaysia mesti bersyukur bukan kerana ada kelainan bangsa dan agama, tetapi sebaliknya bersyukur kerana agama dan kaum-kaum yang lain dapat hidup rukun aman damai dan dapat membangunkan negara dengan cara masing-masing,” katanya.

Leave a Reply