Pemilihan makanan salah punca terdedah penyakit

Last Updated on

DR NORMAN MOHD NORAWI

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia semakin terdedah kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes pada usia muda kerana pemilihan pemakanan yang salah.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Norman Mohd Norawi berkata, pengambilan makanan seperti kurang berkhasiat dan memilih menu salah serta pengambilan makanan dengan kandungan lemak trans, gula putih, karbohidrat yang tinggi antara menjadi faktor.

“Ini menjadi punca kepada masalah kesihatan kronik seperti diabetes, hypertensi dan sakit jantung.

“Selain itu, faktor kurang bersenam atau kurang aktiviti fizikal, stres melampau dan berterusan juga menyumbang kepada masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, diabetes antara penyakit yang popular dikalangan rakyat Malaysia kerana pemilihan menu yang tidak sihat.

Ia berpunca daripada kadar glukosa yang tinggi dalam saluran darah dan kegagalan fungsi pankreas dalam menghasilkan insulin dengan sempurna.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya mengawal kadar gula dalam darah dengan memastikan corak pemakanan yang diamalkan harus dipantau dengan baik.

“Antara makanan yang wajib kita cegah untuk mengelak penyakit diabetes ialah mengurangkan pengambilan makanan bergula tinggi dan bergoreng, serta makanan mempunyai kadar kolesterol yang tinggi.

“Harus di ingat, makanan yang mempunyai kadar gula yang tinggi dan ia adalah musuh utama bagi penghidap diabetes,” katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Antaranya ialah menu atau makanan yang disediakan menggunakan pemanis seperti ais krim, kuih donat, aneka pastri, coklat susu, makanan dengan campuran manisan buatan.

Sementara itu, menyentuh mengenai program kesihatan inisiatif Perdim iaitu larian Doctor Run 2019, yang akan diadakan Mac ini, Dr Norman berkata, sehingga kini, seramai 4,300 peserta telah mendaftarkan diri dan hampir mencapai sasaran penganjur iaitu 5,000 peserta.

Jelasnya, beliau optimis jumlah peserta akan meningkat lagi menjelang pendaftaran larian yang julung kali diadakan itu akan ditutup pada Jumaat, 22 Februari ini.

“Larian ini mempunyai aura yang tersendiri dengan penyertaan lebih kurang 1,700 doktor-doktor bertauliah sekitar seluruh negara.

“Sokongan daripada mereka dalam memeriahkan larian ini menunjukkan bahawa para doktor amat menggalakkan senaman fizikal bagi menjamin kesihatan optimum,” katanya.

Program pada 24 Mac ini, Doctor Run 2019 akan bermula seawal jam 6 pagi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima bagi setiap kategori larian 12 kilometer dan 17 kilometer.

Bagi memeriahkan lagi pertandingan, penganjur juga turut menawarkan hadiah bagi pemenang kostum doktor terbaik selain cabutan bertuah yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Program ini turut menyasarkan 5,000 peserta dari pengamal perubatan moden swasta serta kerajaan selain seluruh lapisan masyarakat di sekitar Lembah Klang.

Orang ramai juga boleh melayari http://checkpointspot.asia/DoctorRun dan juga Facebook Doctor Run untuk maklumat lanjut mengenai acara larian ini. – SINAR ONLINE

Leave a Reply