Masih ada bangunan kerajaan tiada sijil FC bomba

Last Updated on

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan memakaikan pingat kepada salah seorang pegawai pada majlis penyampaian Pingat Kebesaran Jabatan dan Perkhidmatan Cemerlang 2018 negeri di Hotel Muzaffar, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

MELAKA TENGAH – Kira-kira 140 buah bangunan kerajaan berstatus kekal masih belum memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) setakat ini di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan, jumlah itu perlu diberikan perhatian oleh kementerian yang terlibat memandangkan daripada jumlah keseluruhan 649 bangunan yang sedia ada, hanya 226 premis mempunyai sijil FC, manakala 283 masih dalam proses permohonan.

Jelas beliau lagi, usaha komited yang berterusan pihaknya bukanlah untuk menyukarkan mana-mana pihak termasuk kementerian kerana nilai nyawa mereka yang berada di dalam bangunan kerajaan juga bernilai sama seperti mereka yang berada di bangunan swasta.

Bagi memastikan berlaku peningkatan bilangan FC, jabatan bomba turut menyasarkan tiga premis yang akan diberikan keutamaan untuk mempunyai sijil tersebut iaitu hospital, ‘dormitory’ dan juga lokasi perhimpunan secara berperingkat bermula Februari ini hingga Ogos depan agar keseluruhan jumlah itu memiliki sijil selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Kita bukan mahu menyusahkan kementerian lain, tapi melihat perkara ini seperti kebakaran yang pernah berlaku di Hospital Sultan Aminah, Johor walaupun kebakaran berlaku di sebuah bilik kecil tapi melibatkan ramai orang seperti pesakit yang menjalani pembedahan, pesakit berkerusi roda dan ada yang tidak mampu bergerak sendiri.

“Kerana itu kita akan lakukan gerakan yang begitu agresif dengan memberikan fokus kepada tiga premis bangunan kekal kerajaan yang tiada ada sijil itu termasuk hospital,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Kebesaran Jabatan dan Perkhidmatan Cemerlang 2018 negeri di Hotel Muzaffar, Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini, menurut laporan Sinar Online.

Pada majlis itu, seramai 48 menerima anugerah termasuk 12 pegawai yang menerima Pingat Kebesaran Jabatan manakala selebihnya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018.

Leave a Reply