Bentuk bumi: Perbahasan yang tidak bermanfaat

Last Updated on

Oleh Dr Azmi Hassan

PERDEBATAN mengenai bentuk bumi sama ada datar seperti piring atau sfera seperti buah limau masih berlaku bukan sahaja di Malaysia, malah ia dianggap sebagai fenomena global.

Senario terkini memaksa angkasawan negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor masuk campur kerana beliau ketika berada di ruang angkasa mampu menyaksikan bentuk bumi yang sebenarnya.

Fenomena kejadian siang dan malam adalah bukti asas saintifik bahawa bumi itu sebenarnya berbentuk sfera dan bukannya datar. – GAMBAR HIASAN

Kedudukan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang berada pada ketinggian 400 km dari bumi membolehkan hanya dengan mata kasar angkasawan, bentuk kelengkungan bumi adalah begitu jelas kali.

Setiap kali seorang angkasawan buat pertama kali melihat bumi dari ISS, sifat betapa kerdilnya bumi itu di ruang angkasa lepas mampu mengubah persepsi angkasawan tersebut terhadap falsafah hidup.

Angkasawan dari Itali, Samantha Cristoforetti umpamanya adalah antara individu paling lama berada di ISS, iaitu selama 199 hari, apabila melihat bumi buat pertama kali dari ISS, beliau terfikir sama ada apakah terdapat unsur hidupan lain selain dari manusia.

Amat janggal dalam zaman ini di mana manusia menghadapi ledakan teknologi termaju dan sedang melalui era yang dikenali sebagai Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), masih ada kumpulan yang membahaskan isu yang sudah dimuktamadkan beribu tahun lepas.

Tidak kira sama ada Dr. Sheikh Muszaphar mengaku beliau telah menyaksikan dengan mata kasar beliau bahawa bumi mempunyai kelengkungan yang menjurus kepada bumi berbentuk sfera dan mustahil mendatar, kumpulan yang berpegang kepada kepercayaan bumi berbentuk datar masih tidak akan mempercayai bumi itu berbentuk sfera walaupun pengakuan itu terbit dari angkasawan Malaysia yang pertama.

Walaupun jika hujah paling mudah dibentangkan untuk membuktikan bumi tidak berbentuk datar seperti kapal yang berada di laut hanya akan muncul atau susut dari penglihatan sedikit demi sedikit yang membuktikan bumi bersifat kelengkungan, sudah agak pasti kumpulan yang mempercayai bumi itu datar itu tidak boleh menerima hujah dan bukti paling asas.

Dalam Al Quran umpamanya banyak ayat yang membincangkan mengenai alam semesta yang antara lain memberi isyarat tersirat bahawa bumi ini adalah tidak datar. Surah Az-Zumar, ayat 5 antara lain membincangkan fenomena malam dan siang dan juga pergerakan bulan dan matahari.

Perbahasan bentuk bumi mengundang kepercayaan sesetengah pihak bahawa kononnya wujudnya konspirasi untuk menyembunyikan hakikat bumi itu datar.

Fenomena kejadian siang dan malam adalah bukti asas saintifik bahawa bumi itu sebenarnya berbentuk sfera dan bukannya datar.

Amat janggal dalam zaman ini di mana manusia menghadapi ledakan teknologi termaju dan sedang melalui era yang dikenali sebagai Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), masih ada kumpulan yang membahaskan isu yang sudah dimuktamadkan beribu tahun lepas.

Tidak menghairankan umpamanya apabila ahli falsafah Greek Pythagoras berhujah dunia tidak datar tetapi berbentuk bulat, ianya mendapat tentangan kerana ia berlaku pada era 500 S.M. 

Pythagoras juga berhujah dunia itu berbentuk bulat, bukan datar.

Perbahasan sebegini sebenarnya tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun tetapi hakikatnya masih ada yang mempercayai bahawa bukti-bukti yang jelas itu semuanya adalah konspirasi.

Apakah kumpulan yang mempercayai bahawa ujudnya konspirasi yang menyembunyikan fakta bahawa bumi itu adalah datar dibiarkan begitu sahaja kerana ada yang berpendapat berhujah dengan kumpulan seperti itu tidak akan membawa kepada penyelesaian isu?

Apa yang amat dibimbangi ialah keujudan kumpulan yang begitu taksub dengan kepercayaan ujudnya konspirasi tidak kira konspirasi mengenai bentuk bumi atau lain-lain komplot konspirasi sebenarnya adalah tidak sihat demi kemajuan fizikal dan mental sesebuah negara.

Ini kerana jika kumpulan itu mudah termakan teori konspirasi walaupun pada pandangan kasar ianya tidak logik, maka kumpulan tersebut akan mudah mempercayai teori konspirasi yang lain.

Ambil contoh mudah kejadian 8 Mac 2014 mengenai misteri kehilangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia MH370. Oleh kerana sehingga hari ini masih tidak dapat ditentukan kejadian sebenar yang berlaku terhadap pesawat tersebut, teori konspirasi yang ujud adalah berbagai, dan anehnya ada golongan yang mempercayai keujudan konspirasi tersebut sehingga menuduh ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh kerajaan Malaysia.

Memang tidak dinafikan perdebatan mengenai bentuk bumi oleh kumpulan yang bertentangan dianggap remeh tetapi jika dibiarkan tanpa kekangan ia boleh memberi mudarat kepada negara.

Tambahan pula dengan ledakan teknologi dalam media sosial, teori konspirasi begitu mudah ditularkan sehingga ramai yang terperangkap kerana menular berita konspirasi tanpa usul periksa.

*Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply