Pengundian Awal PRK Semenyih

Last Updated on

Pengundi awal berbaris bagi proses pengundian awal di IPD Kajang

HULU LANGAT – Seramai 858 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih mula membuang undi sebaik sahaja waktu mengundi bermula pada jam 8 pagi tadi.

Dua pusat pengundian awal dibuka bagi PRK kali ini dan seramai 761 anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama pasangan mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

Manakala 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. 

Pengundi awal berbaris bagi proses pengundian awal di IPD Kajang

Setakat pukul 9.05 pagi, 50 peratus daripada 97 anggota polis telah membuang undi di IPD Kajang dan proses ini berjalan lancar. 

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun tiba pada jam 8.55 pagi di sini bagi meninjau proses pengundian, ditemani Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff dan Timbalannya, Superintenden Mohd. Sabri Abdulllah.

Selain itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin turut hadir menyaksikan proses pengundian yang akan berakhir pada jam 2 petang tersebut.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon BN, Zakaria Hanafi, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.

Leave a Reply