Serangan India ragut nyawa orang awam Pakistan

Last Updated on

Konflik terbaru antara India dan Pakistan dikhuatiri akan menjadi semakin parah – Foto Sinar Harian

ISLAMABAD, 27 Februari – Empat orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh manakala 10 yang lain cedera akibat insiden berbalas tembakan membabitkan pasukan keselamatan India dan Pakistan di Kashmir semalam.

“Sebutir peluru meriam milik India memusnahkan sebuah rumah di daerah Nakyal di Garisan Kawalan, membunuh seorang ibu, anak perempuan dan anak lelakinya manakala tiga yang lain cedera,” kata pegawai pengurusan bencana tempatan, Shariq Tariq.

New Delhi dan Islamabad kerap menuding jari berhubung tembakan yang dilepaskan di sempadan Kashmir yang dikawal oleh pihak tentera, dikenali sebagai Garisan Kawalan.

Tariq berkata seorang wanita juga terbunuh manakala tujuh yang lain cedera akibat satu lagi serangan di Nakyal. Irfan Saleem, seorang pegawai polis tempatan, mengesahkan insiden tersebut.

Kematian itu dipercayai susulan serangan udara oleh India ke atas sebuah kem militan di wilayah Pakistan.

Sinar Harian memetik laporan AFP menyatakan serangan itu sebagai membalas serangan nekad yang membunuh 40 tentera di Kashmir, baru-bau ini.

Pakistan bagaimanapun menolak dakwaan India bahawa serangan itu menyebabkan kerosakan besar dan kematian anggota militan yang bertanggungjawab ke atas serangan bom pada 14 Februari.

Pakistan turut menyifatkan dakwaan itu sebagai “berniat jahat dan palsu”, sambil menambah bahawa ia akan bertindak balas tidak lama lagi.

Ia adalah serangan udara pertama yang dilancarkan oleh India terhadap Pakistan sejak 1971.

Ketegangan antara kedua-dua negara itu mencetuskan keprihatinan antarabangsa, dengan China dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa kedua-dua pihak supaya bertenang.

Leave a Reply