Nahas kereta api di Kaherah ragut 20 nyawa

Last Updated on

KAHERAH, 28 Februari – Sekurang-kurangnya 20 orang maut, sementara 40 yang lain cedera susulan nahas kereta api di sebuah stesen kereta api di Kaherah, semalam.

Memetik berita BBC, Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian di stesen kereta api Ramses, sebuah kereta api gagal berhenti sejurus tiba di platform lalu melanggar tembok penghadang sebelum meletup.

Sistem kereta api yang agak mundur dikatakan antara punca nahas kereta api berlaku di Mesir – Foto Sinar Harian

Nahas menyebabkan tangki minyak kereta api tersebut meletup dan mengakibatkan kebakaran besar di platform serta kawasan sekitar.

Punca kemalangan masih disiasat, namun beberapa jam selepas insiden, Menteri Pengankutan Hisham Arafat, dilapor meletak jawatan.

Rakaman CCTV di lokasi kejadian menunjukkan platform dipenuhi orang ramai ketika kereta api terbabit meluncur laju ke arah platform sebelum melanggar penghadang lalu meletup.

Sementara itu, ketika melawat lokasi nahas, Perdana Menteri Mostafa Madbouli berkata, pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden akan dikenakan hukuman berat.

“Kami akan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan mereka dihukum,” katanya.

Sistem kereta api Kaherah dilapor memiliki rekod keselamatan buruk, berikutan kelemahan pentadbiran serta kekurangan pelaburan oleh kerajaan.

Pada Ogos 2017, 43 orang terbunuh dan lebih 100 cedera apabila dua kereta api penumpang bertembung di Alexandria.

Kemalangan maut paling buruk melibatkan kereta api di negara berkenaan, berlaku di selatan Kaherah pada 2002, apabila sebuah kereta api dipenuhi penumpang terbakar dan mengorbankan lebih 370 nyawa.

Leave a Reply