Jika Bukan Penghinaan, Apa Maksudnya?

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

Sampai bila Nabi Muhammad SAW akan terus dihina? Adakah perlu ada batas penghinaan terhadap baginda, dan ketika itu barulah umat Islam perlu bertindak?

Penghinaan terhadap nabi bukanlah satu perkara baharu dalam sejarah Islam. Tetapi membisu dan kaku untuk bertindak adalah satu fenomena terkini dan tragedi malang bagi umat Islam Malaysia.

Sekiranya pemimpin politik yang dinista, maka gegak gempita seluruh alam sehingga ke seluruh petala langit terasa gegarannya.

Andainya idola idaman yang dikeji, akan berhamburanlah hujah untuk mempertahankan reputasi dan susuk tubuhnya.

Bukankah Rasulullah SAW merupakan ikon penting dalam kehidupan umat Islam? Mengapakah baginda dinafikan untuk diberikan pembelaan sewajarnya?

Dalam konteks politik pula, kata-kata pemimpin pujaan dinaik taraf seperti hadis yang tidak boleh dipertikai. Batang tubuh pemimpin didewakan ibarat nabi yang maksum.

Apakah rakyat di negara ini silap, atau tersilap, atau sengaja menjahilkan diri kerana kepentingan dan ketaksuban kepartian?

Amat ketara dalam norma kehidupan umat Islam negara ini, ada pemimpin yang lebih disanjungi dan dimuliakan dari Nabi Muhammad SAW. Juga, idola idaman mereka dianggap lebih bernilai walaupun al-Quran telah mengesahkan bahawa baginda adalah suri teladan teragung.

Apakah masih ada umat Islam yang keliru sehingga mereka hilang sengat untuk mempertahankan insan paling mulia di sisi Allah?

Adakah golongan bukan Islam masih tidak faham bahawa mempercayai Nabi Muhammad SAW adalah salah satu prinsip keimanan umat Islam yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali?

Masih terlalu ramai rakyat negara ini yang jahil, berminda lopong, dan bersikap sembrono dalam menjaga keharmonian antara kaum, terutamanya dalam perkara-perkara yang berhubung kait dengan agama.

Sering kedengaran orang yang menghina Nabi Muhammad SAW dibela oleh pemilik minda bercelaru dengan hujah songsang bersandarkan prinsip kebebasan bersuara. Tetapi jika agama dan adat kaum lain yang dihina dan dikeji, sepantas kilat mereka mempertahankannya.

Sehingga kini budaya pemesongan tafsiran mengenai kedudukan orang Melayu dan agama Islam dalam perlembagaan masih diperdebatkan.

Malah ada yang lebih berani, kebencian terhadap agama Islam dizahirkan ibarat mempromosi filem Hollywood tanpa memikirkan kesan dan akibatnya.

Mahukah kita berhadapan dengan suasana di mana tiap-tiap penganut agama berprasangka antara satu sama lain kerana kebencian, kebiadaban dan keceluparan sesetengah pihak? Namun inilah hakikat yang harus diterima dewasa ini.

Terdapat tangan-tangan berkudis bermain mancis di media sosial untuk menyemarakkan api persengketaan. Masih ada mulut-mulut berkurap yang celupar asyik bersandiwara tanpa memikirkan kesan hujahnya.

Malahan masih ramai yang berjudi nasib mengejar populariti dengan menghidupkan bara api perpecahan secara tidak disedari. Inikah bentuk rakyat Malaysia yang diidamkan oleh deklarasi Rukun Negara pada 31 Ogos 1970?

Umat Islam sering dipaksa rela untuk bertoleransi dengan kebiadapan golongan yang menghina, mempersenda dan memperlekah Rasulullah SAW dan hukum-hukum Islam. Amat mengelirukan, umat Islam diminta bertoleransi, tetapi si penghina nabi dibela atas semangat demokrasi.

Malang sekali bagi umat Islam, apabila ada pemimpin dan golongan tertentu berasa gusar dan sensitif terhadap reaksi umat Islam yang memprotes terhadap penghinaan yang dilontarkan kepada Rasulullah SAW. Di manakah maruah golongan ini?

Sekiranya ibu bapa mereka sendiri yang dihina dan diaibkan melalui lukisan atau coretan, adakah mereka akan berdiam diri? Mahukah mereka bertoleransi dengan golongan yang mempersendakan maruah keluarga dan martabat kedua ibu bapa mereka?

Sebaliknya, inilah nasib yang menimpa golongan yang membela dan mempertahankan maruah Nabi Muhammad SAW.

Gelaran apakah yang patut diberi kepada umat Islam yang tidak terusik perasaannya apabila Rasulullah dihina? Panggilan apakah yang sesuai dengan sikap mereka apabila umat Islam yang membela Nabi Muhammad SAW digelar rasis, tidak bertoleransi, oportunis dan sebagainya?

Tidakkah mereka terfikir bahawa dengan sikap melunakkan tindakan penghina Rasulullah tanpa disedari mereka sendiri telah menghina nabi yang paling agung ini?

Jika sahabat masih ada, adakah mereka akan mewajarkan tindakan si penghina Nabi Muhammad SAW?

Sejak akhir-akhir ini ramai umat Islam Malaysia yang hanya berpeluk tubuh dalam perkara ini. Mereka menganggap penghinaan ini hanyalah hiburan seketika, dan dengan sendirinya akan reda apabila tiba masanya.

Inikah rupa bentuk sikap umat Islam yang mengharapkan syafaat dari Nabi Muhammad SAW ketika berada di Padang Masyar nanti?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply