Kes CEO Cradle Fund: Isteri, dua anak tiri didakwa hari ini

Last Updated on

SHAH ALAM – Isteri dan dua anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, 2 petang ini atas tuduhan membunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, terdahulu polis menahan isteri dan dua anak tiri Nazrin di kediaman mereka awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihak Peguam Negara telah mengeluarkan arahan pertuduhan untuk kesemua mereka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Pertuduhan akan dibacakan kepada isterinya Samirah Muzaffar, 43, dua anak lelakinya berusia 15 dan 17 tahun dan seorang lagi yang masih bebas.

“Ketiga-tiga mereka ditahan di kediaman mereka pada 6.45 pagi tadi,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan laporan penuh bedah siasat kali kedua Allahyarham Nazrin mengambil masa lama berikutan ia bergantung kepada doktor yang membuat laporan berkenaan.

Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lalu difahamkan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.

Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu. – SINAR ONLINE

Leave a Reply