‘Patut suntik dana buat Felda, biar bayaran hasil cepat’

Last Updated on

Datuk Zulkefli Nordin

SHAH ALAM – Kerajaan perlu menyuntik dana buat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membantu peneroka berdepan masalah yang berlaku terhadap pengeluaran produk komoditi negara itu.

Penasihat Suara Generasi Baru Felda, Datuk Zulkefli Nordin berkata, dana itu setidaknya mampu untuk membantu mempercepatkan bayaran hasil kepada peneroka yang selama ini berdepan dengan kelewatan pembayaran.

Katanya, idea itu lebih baik berbanding cadangan Menteri Industri Utama, Teresa Kok supaya pekebun kecil beralih kepada tanaman baharu dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tanaman kelapa sawit sebagai produk komoditi negara.

“Cadangan itu tidak masuk akal untuk peneroka Felda. Berapa ramai peneroka mahu tanam buluh? Mahu tanam nanas?

“Kerajaan seeloknya menyuntik dana buat Felda untuk mempercepatkan bayaran jualan hasil. Bila bayaran dibuat cepat, peneroka tidak akan terkesan. Kerajaan juga tidak rugi,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, Teresa seharusnya bersemuka dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi mencari jalan terbaik untuk membantu peneroka Felda berdepan dengan masalah yang dilihat tiada penghujungnya.

“Kita faham Felda berdepan dengan krisis kewangan tetapi kerajaan setidaknya boleh membantu menyuntik dana. Kerajaan bukannya tiada duit. Dana itu pula bukannya hangus tetapi boleh dikatakan sebagai ‘rolling’ untuk Felda dan peneroka,” katanya.

Kelmarin, Teresa menjelaskan, susulan penurunan harga minyak sawit pada tahun lalu, ramai dalam kalangan pekebun kecil mengalami kerugian, manakala syarikat besar hanya meraih keuntungan yang sedikit.

Jadi katanya, sudah tiba untuk negara menumpukan kepada hasil tanaman lain dan fokus kepada operasi hiliran komoditi negara.

Katanya, beberapa syarikat sudah mula beralih kepada tanaman lain seperti kelapa dan ini adalah langkah yang baik kerana Malaysia mengimport sebanyak sejuta kelapa setiap tahun.

Selain itu katanya, nanas dan buluh adalah antara hasil tanaman yang berbaloi untuk diteroka kerana ia mempunyai permintaan tinggi.

Selepas cadangan itu dipertikaikan, Teresa tampil menjelaskan, kenyataannya sebelum itu merujuk kepada beberapa kawasan di Pahang yang kebetulannya mempunyai banyak buluh.

Beliau berkata, pemilihan tanaman yang lain juga adalah bergantung kepada kesesuaian tempat yang sesuai dengan sebarang jenis tanaman. – SINAR HARIAN

Leave a Reply