Kerajaan tubuh Unit Pemantau Isu Hina Islam

Last Updated on

Datuk Seri Dr. Mujahid

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan Unit Pemantau Isu Hina Islam bagi memantau penulisan atau provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam di semua platform media termasuk laman sosial.

Inisiatif untuk menubuhkan unit khas itu dibuat susulan beberapa kes menghina dan mempersendakan agama Islam dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, unit khas itu akan segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sebaik sahaja aduan berkaitan penghinaan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam diterima.

“Negara kita mempunyai undang-undang. Pihak yang bersalah mesti dijatuhkan hukuman yang setimpal. Saya juga percaya, pihak berkuasa telah melakukan tindakan sewajarnya untuk menangani isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mujahid turut menggesa semua pihak agar berganding bahu bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian di negara ini.

Tambahnya lagi, sebarang maklumat atau aduan boleh disalurkan menerusi WhatsApp di talian hotline 010 – 300 52 60 atau emelkan kepada aduan@islam.gov.my.

Terdahulu, Polis menerima 929 laporan dan membuka 16 kertas siasatan berhubung individu yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Sebelum ini, seorang warga emas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memuat naik karikatur yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah di laman Facebook, baru-baru ini.

Tertuduh Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, M.M Edwin Paramjothy.

Selepas itu beberapa individu pula ditahan kerana memuat naik kenyataan menghina Nabi di media sosial.

Leave a Reply