Urusan pos guna dron

Last Updated on

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sedang mendengar penerangan tentang penggunaan dron untuk urusan pos sewaktu hadir majlis penutup Pertandingan Parcel Drone 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya anjuran Pos Malaysia Berhad dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, hari ini.

KUALA LUMPUR – Penggunaan dron secara komersil dalam industri pos dan kurier mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ,teknologi dron mempunyai kelebihan dalam beberapa bidang seperti kesihatan, pertanian dan perubatan malah boleh membantu membawa bekalan makanan kepada mereka yang terperangkap dalam banjir.

“Malaysia sudah pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus permodenan itu, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menyuarakan pendapat bahawa negara kita mesti meneroka teknologi baharu seperti dron dan kepintaran buatan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini selepas menutup Pertandingan Parcel Drone 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya.

Penggunaan inovasi ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV) dron sedang giat dilaksanakan di pelbagai negara seperti Switzerland di mana Swiss Post telah menggunakan dron secara komersil bagi menghantar sampel atau spesimen makmal di antara klinik dan hospital sejak 2018.

Pertandingan Parcel Dron yang dianjurkan oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), itu berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 40 peserta termasuk daripada beberapa institusi pengajian tinggi.

Gobind berkata pihaknya akan terus memberikan sokongan dan dorongan yang diperlukan pihak Pos Malaysia dan MCMC dalam usaha meningkatkan keupayaan negara dalam bidang penghantaran bungkusan agar keupayaan negara setanding dengan negara-negara maju.

“Kita juga tetap akan mengutamakan isu keselamatan penggunaan dron dalam perkhidmatan pos dan adakalanya boleh berlaku kemalangan disebabkan isu teknikal. Ini adalah selaras dengan peraturan sedia ada seperti yang ditetapkan dalam industri penerbangan,” katanya.

Program yang dikira sangat bertepatan dengan hasrat kementerian di bawah Pelan Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia 2019-2023 bagi memacu ekonomi digital serta menggalakkan penggunaan teknologi tinggi ini juga dapat mencungkil bakat-bakat tempatan yang berpotensi dalam bidang UAV untuk diberikan sokongan dan pengiktirafan agar mereka dapat terus maju ke peringkat lebih tinggi pada masa depan.

Gobind turut menyampaikan hadiah utama bernilai RM25,000 kepada Syarikat System Consultancy Services Sdn Bhd yang muncul juara dalam pertandingan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Syed Md Najib Syed Md Noor berkata pertandingan tersebut merupakan langkah pertama Pos Malaysia untuk meneroka peluang bagi memperkenalkan teknologi dron dalam segmen penghantaran bungkusan syarikat berkenaan.

Leave a Reply