Berbohong bukannya menipu

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

GEMPITA alam siber, kecoh media massa. Bertubi-tubi rakyat digegarkan dengan berita sensasi akibat tindakan beberapa orang pemimpin politik.

Isu panas yang menyelubungi cuaca politik tanpa dirancang telah menimbulkan polimik yang berpanjangan.

Rakyat turut terjebak dengan isu ciptaan orang-orang yang berfikiran implisit. Emosi dan minda penyokong telah dirobek-robek dengan rakus agar mempercayai satu pihak dan membenci pesaingnya. Dalam sekelip mata, bara yang baru menyala telah menjadi api yang marak.

Pelbagai pihak berasa mereka berhak untuk masuk campur secara membabi buta dalam memberikan hujah dan alasan yang kadang kala separuh masak.

Dalil dan nas akademik, agama dan profesional digunakan secara menggila dan bersilih ganti bagi mempertahankan pembohongan dan penipuan.

Malahan golongan profesional, akademik dan spiritual turut luntur integriti akibat ketaksuban membela kumpulan yang dianggap lebih utama dari menyatakan kebenaran.

Sama ada maklumat yang dikupas betul atau salah, tepat atau tersasar, dan halal atau haram bukan lagi menjadi perhitungan waras.

Inilah budaya dunia siasah Malaysia yang sedang berkembang pesat mengatasi pembangunan ekonomi, pendidikan, dan akhlak.

Apabila manusia berbohong dengan alasan bahawa pembohongannya untuk menjaga kemaslahatan.

Apabila ada pemimpin terperangkap dengan janji bulan dan bintang, ia dipertahankan dengan kewajaran-kewajaran yang merendahkan daya intelek dan moral.

Dan, apabila sesetengah orang telah dihukum oleh rakyat kerana pelbagai skandal, namun ia tetap dibela, kononnya mahkamah belum membuat pengadilan. Mengapa sikap Congnitive Dissonance sangat menebal dalam kalangan manusia ‘bertamadun’?

Apakah dalam soal berbohong dan menipu mesti mahkamah yang memutuskan kesahihannya? Adakah janji-janji manis yang ditanam di tepi bibir bukan satu bentuk manipulasi dan eksploitasi? Apakah ada hujah agama yang menghalalkan sikap putar belit?

Secara umum, perbuatan menipu dikaitkan dengan sikap atau tindakan seseorang yang melanggar peraturan secara curang. Ia bertujuan untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan muslihat yang halus, licin dan menyesatkan.

Sementara berbohong pula adalah tindakan memberikan maklumat palsu secara sengaja agar ia diyakini atau dipercayai untuk menutup kelemahan hujah dan alasan yang diberi.

Dari sudut moral, seseorang yang menggunakan fakta tidak betul dalam janjinya kerana mencari sokongan, bolehkah ia disimpulkan tidak melakukan pembohongan atau penipuan?

Bagaimana pula dengan seseorang yang memberikan fakta sahih dan tepat untuk mendapatkan sokongan, tetapi sebenarnya ia tidak berniat untuk melaksanakan janjinya, apa pula status orang seperti ini?

Apakah gelaran yang layak bagi orang yang melunakkan hujahnya dengan pseudo-fakta agar ia dipercayai, tetapi ia tidak bermaksud untuk melakukan kecurangan?

Sementara itu di luar skop politik, ramai penceramah motivasi, orang-orang agama, ketua-ketua agensi, dan orang yang berpengaruh tanpa usul periksa dan segan silu sering memberikan kenyataan yang tidak tepat, betul dan sah dengan tujuan untuk merangsang seseorang secara positif. Adakah mereka tidak dianggap menipu atau berbohong?

Aneh tetapi benar, kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat dan England mendapati bahawa secara purata rakyat di kedua-dua buah negara ini berbohong atau menipu antara dua (2) hingga enam (6) kali dalam sehari! Apakah kepincangan seperti ini tidak berlaku di Malaysia?

Amat menggerunkan apabila hampir 61 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat didapati menipu dalam peperiksanaan dan tugasan.

Manakala hampir 85 peratus pemohon kerja menipu atau berbohong mengenai pengalaman dan kepakaran yang mereka miliki.

Adakah penipuan dan pembohongan sudah menjadi budaya masyarakat moden yang mengaku bertamadun?

Persoalan mudah tetapi sukar untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan kenapa seseorang berbohong atau menipu?

Ahli agama mengatakan orang seperti ini mempunyai iman yang lemah. Manakala ahli psikologi berpendapat, emosi orang ini kurang stabil.

Sementara ahli sosiologi pula beranggapan ia adalah kesan dari keinginan untuk mengatasi pihak lain? Hujah siapakah yang betul dan boleh diyakini?

Selama seribu empat ratus tahun agama Islam mendidik umatnya agar tidak berbohong dan menipu.

Banyak ayat Al-Quran dan hadis yang mengupas perkara ini agar boleh dijadikan panduan. Namun, harapan umat Islam tersasar apabila orang yang berpengaruh, berkuasa dan bijak pandai gagal mempamerkan pemikiran, sikap dan tindakan yang jujur, bersih dan berwibawa.

Adakah ini bentuk umat Islam Malaysia yang perlu diketengahkan untuk dijadikan suri teladan kepada generasi pelapis?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply