Himpunan LGBT: Cubaan murahan mempromosikan budaya songsang

Last Updated on

Kevin Shawn Gomez

SHAH ALAM – Himpunan menuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) disifatkan sebagai satu cubaan murahan mempromosi budaya songsang LGBT di negara ini tanpa mengambil kira sensitiviti agama dan kaum seluruh rakyat Malaysia.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Kevin Shawn Gomez berkata, tindakan dangkal golongan LGBT yang dilihat tidak membawa sebarang faedah dan hanya merendahkan darjat mereka di khalayak.

Katanya, ternyata para pendukung gerakan LGBT sengaja mencetuskan kemarahan majoriti penganut agama Islam di Malaysia yang terang-terang menolak sebarang budaya, aktiviti mahupun organisasi berkaitan LGBT.

“Walaupun bangsa di Malaysia terdiri daripada pelbagai agama dan kaum dan turut terkenal sebagai negara yang kaya dengan adat dan budaya ketimuran tetap tidak dapat menerima budaya LGBT.

“Dalam al-Quran jelas menunjukkan golongan LGBT merupakan golongan yang menzalimi diri mereka sendiri, malah dalam agama lain juga tidak membenarkan gaya hidup LGBT,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kebanyakan keluarga di Malaysia meletakkan kepentingan dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

“Sedangkan seks bebas dan mengandung luar nikah itu sendiri dipandang hina oleh masyarakat, apatah lagi budaya hidup LGBT?,” soalnya.

Katanya, justeru Pemuda Amanah menyokong penuh keputusan kerajaan untuk membanteras dan membendung segala gejala buruk LGBT.

“Pemuda Amanah menyeru kerajaan untuk bertindak tegas dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur Himpunan Hak LGBT yang mencemari jalan di sekitar Ibu Kota dengan plakad dan poster yang membawa mesej berbaur lucah.

“Semoga tindakan tegas kerajaan akan menjadi amaran kepada golongan penuntut hak LGBT untuk tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan keharmoninan negara dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Sabtu lalu, himpunan sempena Hari Wanita Sedunia dicemari dengan kedatangan kira-kira 1,000 penyokong LGBT.

Perhimpunan menuntut hak wanita itu diadakan berhampiran pusat beli belah di ibu kota. – SINAR HARIAN

Leave a Reply