JKNJ nafi isytihar Red Alert

Last Updated on

Mesej tular yang disebarkan semalam

JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan penularan kenyataan melalui aplikasi Whatsapp berhubung Pengisytiharan Red Alert oleh pihak Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, yang telah ditularkan semalam.

Pengarahnya, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, JKNJ juga ingin menegaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang kematian rentetan daripada kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru.

“JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.

“Pihak JKNJ juga menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari pihak berwajib,” katanya di sini hari ini.

Selahuddeen berkata, maklumat terkini keadaan akan disiarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa.

Terdahulu, tular di laman sosial termasuklah aplikasi Whatsapp Pengisytiharan Red Alert daripada pengurusan hospital susulan kejadian pembuangan bahan kimia di Pasir Gudang.

Mesej yang tular itu turut menyarankan penggunaan penutup muka apabila keluar rumah selain menyebarkan maklumat kononnya terdapat pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia. – SINAR HARIAN

Leave a Reply