Apabila alam memulangkan paku buah kerasnya

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

BUKAN sekali ini kita dikejutkan dengan tragedi bencana pencemaran toksik akibat keserakahan dan ketamakan manusia yang semakin hilang rasa kemanusiaan. Demi kemewahan hidup, para kapitalis ini mengabaikan apa jua peraturan dan undang-undang, malah nyawa yang mungkin melayang akibat sikap tidak peduli mereka.

Para kapitalis sanggup membuang sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang hanya kerana mahu mengaut keuntungan lebih.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang membuktikan manusia boleh sahaja hilang kewarasannya apabila nilai materi dijadikan matlamat dalam tindakan mereka. Sekiranya mereka ini mengambil kira maslahah orang lain, sudah tentu bencana tahap kritikal yang menimpa hampir 1,000 mangsa ini boleh dielakkan.

Namun pada era manusia sibuk menyiapkan diri bagi menghadapi gelombang Revolusi Industri ke-4 (4IR), kepanikan para kapitalis bukan hanya dengan melipatgandakan usaha memajukan serta meningkatkan taraf hidup dengan kegiatan ekonomi dan projek-projek pembangunan, mereka terlebih dahulu menampilkan sisi buruk sebuah negara yang menuju negara maju tanpa nilai insani.

Mereka mula sedikit demi sedikit menghakis rasa tanggungjawab sesama manusia dengan mengabaikan tanggungjawab mereka dalam usaha menjaga alam sekitar, yang seterusnya akan memberi akibat secara langsung kepada kehidupan makhluk, seterusnya kepada pembangunan sesebuah negara.

Keindahan alam sekitar tidak seharusnya disia-siakan oleh mereka yang menjadi hamba duit dan tiada nilai kemanusiaan.

Alam sekitar yang merupakan anugerah yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit telah pun menjadi korban manusia yang gilakan duit. Apabila manusia telah menjadi hamba duit, tidak hairanlah mereka sewenang-wenangnya tergamak membuang sisa-sisa industri yang sudah pasti diketahui tahap bahayanya serta kesan sampingan kepada alam dan manusia, walaupun tidak arif akan kesannya secara rinci.

Dalam kes bencana pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan sisa toksik tidak dibersihkan kerana kos tinggi. Alasan ini tentu sahaja menyebabkan masyarakat sakit hati dan sangat kecewa. Hanya kerana mementingkan keuntungan lebih, pengilang seolah-olah tidak kisah menggadaikan kesihatan penduduk setempat demi kepentingan tembolok sendiri.

Kita tidak pasti sejak bila lagi aktiviti terkutuk ini berjalan sebelum ini. Hanya apabila alam bersuara menyatakan rintihannya, baharulah pihak bertanggungjawab sedar bahawa alam sudah tidak mampu lagi menghadapi penyeksaan dari para kapitalis ini. Mungkin jeritan mereka selama ini terlepas pandang oleh pihak berkuasa, maka kali ini alam menjerit sekuat-kuatnya.

Apabila hospital penuh dengan mangsa yang menggigil, muntah dan sesak nafas, baharulah kita membuka mata mengkaji itu-ini, menghantar wartawan ke lokasi untuk menyebarkan khabar bencana dan mengemaskini apa yang sedang terjadi, walhal kita boleh bertindak mencegah sebelum ia berlaku. Sikap sudah terhantuk baru tengadah masih tidak lekang dari amalan kita, sebuah negara yang bakal menuju negara maju.

Berdasarkan laporan Jabatan Alam Sekitar, pada 2001 jumlah keluaran bahan pencemar di Malaysia dianggarkan sebanyak 933,000 tan setahun. – GAMBAR HIASAN

Mengikut laporan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui akhbar utusan pengguna pada tahun 2001, menunjukkan jumlah keluaran bahan pencemar di Malaysia dianggarkan sebanyak 933,000 tan setahun.

Kesan pencemaran kepada alam bukannya sedikit. Ia termasuklah pencemaran udara disebabkan oleh kenderaan bermotor, stesen jana kuasa dan pembakaran secara terbuka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini berlaku di sebabkan bahan-bahan berada dalam kepekatan yang tinggi, seterusnya mengganggu dan membahayakan kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan dan haiwan serta harta benda.

Pembuangan toksik yang berlaku melalui industri perkilangan, kerja-kerja pembinaan dan sebagainya juga menyebabkan berlakunya kejadiaan jerebu yang menjejaskan aktiviti manusia seperti aktiviti pertanian. Apabila ia dilimpahkan ke dalam sungai atau punca air pula, ia akan mengancam kehidupan akuatik, dan secara tidak langsung kepada manusia melalui proses ekosistem.

Para pemimpin perlu duduk semeja bersama pakar bencana mencari penyelesaian kepada amarah alam yang kini tiada komprominya lagi. – GAMBAR HIASAN

Dari serangkaian aktiviti manusia yang mahu mengaut keuntungan besar secara mudah, alam menjadi mangsa. Dan apabila alam memprotes, manusia pula akan menjadi mangsanya seperti yang berlaku sekarang di Pasir Gudang. Bayangkan bagaimana kesusahan yang dialami penduduk dalam radius lima kilometer di kawasan bencana terpaksa keluar dari kediaman sendiri untuk menyelamatkan diri semata-mata kerana dosa yang dibuat orang lain.

506 mangsa pula sedang kesakitan kerana sesak nafas bukan kerana mereka tidak menjaga kesihatan mereka, tetapi hanya kerana sirnanya sifat manusiawi para kapitalis. Kita belum tahu apa kesan jangka panjang kepada mangsa-mangsa ini.

Kerana tindakan segelintir manusia, kesusahan dan kerugian terpaksa ditanggung bersama. Negara sudah pasti akan mengeluarkan sejumlah perbelanjaan untuk menyelesaikan masalah ini. Cadangan Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Hafizan Juahir supaya kerajaan menambah isi padu air Sungai Kim Kim yang tercemar dan melakukan pembenihan awan untuk mengatasi masalah ini pasti memakan belanja yang bukan sedikit.

Justeru itu, hukuman yang setimpal dengan kemusnahan jiwa dan alam yang berlaku sangat wajar dikenakan kepada petualang negara ini, bukan hanya didenda bayaran tertentu yang kadangkala bagi mereka amat kecil berbanding keuntungan yang diraih sebelum ini. Mereka perlu dihukum secara adil, “without fear and favour” atas kesalahan yang membinasakan ini.

Justeru itu, hukuman yang setimpal dengan kemusnahan jiwa dan alam yang berlaku sangat wajar dikenakan kepada petualang negara ini, bukan hanya didenda bayaran tertentu yang kadangkala bagi mereka amat kecil berbanding keuntungan yang diraih sebelum ini. Mereka perlu dihukum secara adil, without fear and favour atas kesalahan yang membinasakan ini.

Selain itu, kerajaan seharusnya bertindak proaktif dan cekap dalam menangani masalah seperti ini supaya kerosakan akibat bencana dapat diminimumkan. Ini kerana dalam tragedi ini, kedengaran banyak suara massa yang mempersoalkan tindakan kerajaan yang seolah-olah terpinga-pinga menghadapi situasi yang sedang memburuk ini.

Namun dalam menghadapi bencana seperti ini, tumpuan utama ialah menyelamatkan mangsa dan pihak terlibat. Situasi sebegini bukanlah berita sensasi atau bahan politik untuk mencungkil kelemahan sesiapa, tetapi perlu dipandang dengan jiwa yang empati dan peduli. Para pemimpin perlu duduk semeja bersama pakar bencana mencari penyelesaian kepada amarah alam yang kini tiada komprominya.

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply