PRESTASI SPM 2018 LEBIH BAIK DAN CEMERLANG

Last Updated on

Pengetua dan pelajar SMK Putrajaya Presint 16(1) bergambar dengan keputusan masing-masing.

PUTRAJAYA, 14 Mac – Debaran 421,706 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 akhirnya tamat apabila keputusan telah diumumkan pada 10 pagi di seluruh negara hari ini.

Jumlah keseluruhan ini termasuklah sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), calon persendirian, sekolah swasta, sekolah agensi kerajaan selain KPM, sekolah menengah agama negeri dan sekolah menengah agama rakyat.

Mengikut laporan Analisis Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2018, Gred Purata Nasional (GPN) direkodkan lebih baik iaitu 4.89 berbanding 4.90 pada 2017.

Pencapaian Calon Mengikut Kategori.

8,436 (2.2%) calon lulus dengan cemerlang, iaitu mendapat A+, A atau A- bagi semua mata pelajaran. Seramai 74,360 (19.0%) calon pula lulus dengan kepujian dengan mendapat sekurang-kurangnya gred C untuk semua mata pelajaran. Manakala 147,669 (37.7%) pula lulus dengan mendapat gred E untuk semua mata pelajaran.

Pengetua Cemerlang SMK Putrajaya Presint 16(1) Ab. Aziz Mamat.

Bagi pengetua cemerlang SMK Putrajaya Presint 16(1) yang dinobatkan sebagai Sekolah Harian Biasa Terbaik bagi kawasan Putrajaya, Ab. Aziz Mamat, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama pelajar, ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah.

“SMK Putrajaya Presint 16(1) mencatatkan kejayaan membanggakan di mana pada tahun ini kita berada pada kedudukan pertama dalam senarai sekolah harian biasa di Putrajaya . Ini adalah kejayaan yang kita kongsikan bersama-sama”.

Kegembiraan turut terpancar pada wajah pelajar-pelajar yang lega setelah penantian mendebarkan selama beberapa bulan berakhir.

Bathrisya Syaheira Mazlan bersama Soffea Qistina Mohd Yusoff (kanan) dan Hafeza Afreen Mirza Mohammad Taiyab Beg (kiri).

Bagi Bethrisya Syaheira Mazlan, dia tidak menyangka akan mendapat 9A dan mengganggap keputusan cemerlang ini rezeki daripada Allah.

Sahabatnya pula, Soffea Qistina Mohd Yusoff dan Hafeza Afreen Mirza Mohammad Taiyab Beg mendapat 8A dan meskipun sedikit kecewa kerana tidak mendapat A untuk semua mata pelajaran, tetapi mereka bersyukur dengan keputusan diperolehi.

Muhammad Zamil Hakim Zukiple.

Lain pula situasinya dengan Muhammad Zamil Hakim Zukiple yang mendapat 7A. Dia berasa sangat terkejut apabila namanya tiada dalam senarai dan tidak dipanggil naik ke pentas walaupun telah memeriksa keputusan menerusi SMS terlebih dahulu. Dia ternyata sangat terkejut kerana menyangka keputusan menerusi SMS itu salah dan dia telah gagal dalam SPM. Namun dia menarik nafas lega apabila akhirnya guru mengumumkan namanya tersenarai kerana mendapat 7A dan mengakui berlaku kesilapan teknikal.

Ibu bapa yang hadir juga ternyata gembira dengan keputusan yang diperolehi anak masing-masing kerana menurut mereka, anak-anak telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapat keputusan yang baik. Walau apa pun keputusan yang mereka perolehi, itu adalah bahagian rezeki mereka.

Leave a Reply