Suspek pencemaran toksik belum didakwa

Last Updated on

Gambar tong-tong buangan sisa toksik berbahaya yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Pendakwaan seorang suspek kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor Bahru tidak diadakan hari ini.

Perkara itu disahkan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri, Dr. Sahruddin Jamal ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Menurut beliau, walaupun kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP), pihak berkenaan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menambah beberapa lagi maklumat.

Pendakwaan akan dibuat setelah mendapat arahan lanjut dari pihak TPR.

Terdahulu, kira -kira 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret, di sini seawal jam 7 pagi untuk membuat liputan mengenai pendakwaan terhadap suspek yang merupakan pengusaha sebuah kilang tayar kitar semula di Kulai itu.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan telah diserahkan kepada pejabat TPR untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sekiranya penelitian selesai dibuat, suspek yang ditahan baru-baru ini akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat seawal hari ini. Suspek bakal berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975.

Leave a Reply