Hukuman mati atas budi bicara perlu penjelasan khusus

Last Updated on

Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod

SHAH ALAM – Undang-undang dan kriteria hukuman mati atas budi bicara mahkamah perlu diberi penjelasan secara khusus apabila ia dilaksanakan.

Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, ini kerana jika undang-undang memberi pilihan kepada hakim sama ada menjatuhkan hukuman mati atau tidak, maka hakim tersebut perlu memberi sebab kenapa hukuman mati itu dipilih.

“Dalam keadaan sesuatu hukuman mati itu bersifat budi-bicara hakim, setiap keputusan hukuman mati perlu diberi justifikasi dan sudah tentu ia juga akan menjadi perdebatan di luar mahkamah. Tetapi, jika undang-undang menjelaskan kriteria sesuatu kesalahan boleh dikenakan hukuman mati, maka ia akan memudahkan kerja hakim.

“Contohnya sekarang ini pelaku kesalahan simpan senjata api di bawah Akta 1971 akan dijatuhi hukuman mati mandatori. Tapi apabila cadangan itu dilaksanakan, hakim diberi budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati. Jadi, apa kriterianya, sebab itu ia perlu jelas dalam undang-undang tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin membuat kenyataan bahawa kerajaan bercadang menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati atas budi bicara mahkamah bagi sembilan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti. Lebih Berat) 1971.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan janji ke-27 manifesto PH untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut, Ahmad Kamal berkata, hukuman mati atas budi bicara menyediakan ruang untuk ambil kira keadaan keseluruhan kesalahan.

“Aspek-aspek lain seperti sikap dan suasana yang membawa kepada kesalahan boleh diambil kira.

“Berbeza dengan hukuman mati mandatori memang tiada pilihan. Apabila bukti telah mencukupi, jatuh hukuman mati,” jelasnya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply