Memfitnah Kerana Terdesak?

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

Rakyat bingung dengan berita fitnah yang sangat mengelirukan, ahli psikologi kagum dengan kelicikan si pemfitnah, dan mukmin gerun dengan kesan serta akibat fitnah.

Mengapa fitnah semakin menjadi-jadi? Adakah fitnah satu sikap yang diwarisi, atau kerana reaksi spontan seseorang terhadap situasi yang mendesak? Atau, merupakan satu sebatian pembudayaan emosi negatif dalam kehidupan harian?

Masyarakat digesa supaya tidak terpedaya dengan fitnah yang disebarkan. – Foto sumber internet

Dalam kesibukan menelusuri dunia yang tiada sempadan dan berhadapan dengan asakan maklumat yang tiada batasan, kebanyakan orang  tidak mampu untuk menapis kebenaran sesuatu maklumat. Ada yang keliru untuk membezakan antara kebenaran dan pembohongan. Malahan ada yang terpikat dengan fitnah kerana  perbuatan ini dilontarkan oleh ikon-ikon yang disanjungi.

Anehnya, terdapat golongan yang mendabik dada sebagai pejuang kehidupan berintegriti, tetapi pada masa yang sama mereka tidak segan silu untuk menjadi jaguh dan agen kepada penyebaran fitnah.

Kesan dari hujah mereka sangat berkesan dan dahsyat. Ramai yang terpengaruh dan yakin secara membabi buta. Tidak kurang yang tergamam, kerana pada fikiran mereka ikon ini tidak mungkin membuat fitnah.

Inilah keadaan yang sedang dan sering berlaku  dalam negara kita sekarang. Apa sudah jadi dengan amalan dan adab yang sepatutnya menjadi panduan dalam bertingkah laku?

Jahatnya niat dan tindakan si pemfitnah sudah jelas. Tetapi, masih ada orang yang termakan fitnah kerana melodi fitnah yang disampaikan amat memukau. Tidak kurang juga yang terpikat dengan fitnah kerana pengaruh emosi terhadap kecenderungan kumpulan yang membuatkan mereka tertutup fikiran.

Amat menyedihkan dan menggusarkan dengan banyaknya berita fitnah yang bertaburan ibarat hamparan yang tiada tepian. Masalah ini dirumitkan lagi apabila ada pihak-pihak tertentu yang mengharmonikan pelbagai fitnah seperti alunan muzik orkestra.

Hasilnya, memfitnah bukan lagi sesuatu yang memalukan. Sebaliknya si pemfitnah berasa bangga dengan maksiat yang dilakukan.

Ada golongan yang tergila-gila untuk meningkatkan populariti melalu fitnah. Ada yang mabuk kerana fitnahnya menjadi tular dan tersebar luas tanpa henti. Dan, ada yang berpuas hati kerana fitnah yang dimulakan berjaya menghasilkan kesengsaraan kepada golongan yang dibenci.

Jika umat Islam yang memfitnah, mustahil mereka tidak sedar betapa besarnya dosa memfitnah. Namun, kerana kepentingan dunia, mereka sanggup menggadai maruah diri dan menempah murka Allah SWT.

Sudah hilang kewarasankah orang yang menabur fitnah? Terdapat beberapa kes politik dalam negara ini di mana orang yang memfitnah meminta dirinya dibela, dan orang yang difitnah diajak untuk dicela?

Bermimpikah orang politik yang suka memfitnah? Adakah mereka percaya dengan fitnah yang disebarkan akan menghasilkan suasana harmoni dan aman damai dalam negara ini?

Rakyat keliru dengan sikap segolongan pemimpin seperti ini. Ada yang suka memfitnah semata-mata untuk menegakkan benang yang basah. Ada yang memfitnah untuk membalas dendam. Ada yang turut memfitnah kerana ia sesuatu berita yang sangat popular. Dan, terlalu ramai pemimpin yang sedar dan mengetahui sesuatu berita fitnah, tetapi mendiamkan diri kerana  mendapat laba dari penyebaran fitnah tersebut. Apa yang boleh diharapkan dari pemimpin seperti ini?

Dosa fitnah besar di sisi Islam. – Foto sumber internet

Sementara itu, rakyat pula sering kagum dengan berita sensasi berbentuk fitnah kerana ia maklumat panas, unik dan terkini. Mereka tidak peduli untuk menyelidiki sama ada sesuatu berita itu fitnah atau tidak. Malahan ada di antara mereka yang ghairah untuk menokok-tambah fitnah agar  menjadi lebih menarik dan sensasi. Dan, tidak kurang juga, ada golongan yang menggunakan fitnah untuk memberikan pukulan maut kepada pesaingnya.

Di manakah letaknya adab ketimuran apabila budaya fitnah telah menjadi darah daging? Mungkin pemfitnah berasa dirinya istimewa apabila fitnah yang ditabur dan dibaja menjadi perbincangan orang ramai.

Sebagai seorang Muslim, di manakah letaknya iman, apabila memfitnah tidak langsung terasa berbuat dosa, malahan memberikan kepuasan?

Apa pula tanggungjawab pemimpin masyarakat untuk membanteras budaya fitnah yang semakin hari semakin kronik? Satu persoalan yang mudah difahami tetapi sukar untuk dijawab.

Sering kedapatan pemimpin yang bersikap ibarat “Harapkan pegar, pegar makan padi.” Mereka melenting jika fitnah terkena batang hidung sendiri. Tetapi mengiyakan atau berdiam diri jika musuh politiknya yang difitnah. Inikah bentuk role model kepimpinan melalui teladan yang boleh dibanggakan?

Dari timur hinggalah ke barat, dan dari selatan hinggalah ke utara, kebangkitan Islam adalah fenomena gelombang baharu ibarat tsunami yang tidak dapat dihalang. Begitu juga dengan perkembangan Islam di Malaysia. Malangnya, dalam konteks berpolitik hari ini, umat Islam juga suka memfitnah, menyebar fitnah, dan mengiyakan fitnah.

Adakah ini corak kehidupan politik umat Islam yang Malaysia perlukan, dan dibudayakan untuk menjadi contoh sebagai negara Islam yang progresif? 

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply