Syria kian sepi dari perhatian

Last Updated on

Oleh Razali Awang

LAPAN tahun atau 2,920 hari adalah satu jangka masa yang panjang bagi rakyat Syria. Bagi sebahagian besar kita, 15 Mac sama seperti hari-hari yang lain, ia tidak membawa sebarang makna. Tetapi tidak kepada penduduk di tanah Syam, bermula 15 Mac 2011, ia telah menjadi detik hitam yang merubah segala bentuk senario di negara itu.

Bermula dengan tunjuk perasaan dan lukisan mural oleh sekumpulan remaja yang berusia 10 hingga 15 tahun di Daraa, perbuatan itu kemudian dibalas dengan tindakan tidak berperikemanusiaan. 

Mereka ditangkap, didera sampai mati dan hari-hari seterusnya menyaksikan bagaimana mereka diperlaku di luar batasan kemanusiaan.  

Siri demi siri keganasan dengan pembabitan lebih 17 kuasa luar, Syria menjadi medan pertumpahan darah. Rusia, Amerika Syarikat, Negara Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Arab Saudi, Qatar dan lain-lain lagi menjadi pelaku asing yang telah menjadikan negara berkenaan sebagai medan perang proksi.

Kekacauan yang timbul akibat konflik dalaman telah membuka peluang kepada mereka untuk menyelinap masuk demi pengaruh dan kedudukan. 

Kremlin misalnya yang sekian lama bertapak sama sekali tidak akan berundur kerana Syria amat penting bagi percaturan kuasanya di Asia Barat dan rantau Mediterranean kerana ia menjadi satu-satunya lokasi di mana ia menempatkan pengkalan tentera iaitu di Hmeimim, Latakia.

Peluang yang sama juga digunakan Amerika Syarikat untuk menunggang kumpulan bersenjata Kurdish, Syrian Democratic Forces (SDF) yang sentiasa mencari peluang menubuhkan wilayah autonomi yang selama ini berperang dengan Turki, Iraq waima dengan Bashar sendiri.

Begitu juga dengan Turki yang mempunyai sejarah lampau dan sentimen tersendiri di masa lalu, ketika era Uthmaniyyah di mana Syria pernah berada di bawah kekuasaannya. Bagi memastikan kepentingannya, Ankara memberi sokongan kepada kumpulan penentang yang dikenali Free Syria Army (FSA).

Kebangkitan revolusi menentang Bashar juga menyaksikan kemunculan pengaruh kumpulan yang kononnya berjuang atas nama Islam, iaitu al-Dawla al- Islamiya al-Iraq al-Sham (Daesh) atau  ISIL iaitu Islamic State of Iraq and the Levant yang wilayahnya tidak didefinisikan sekitar Syria. 

Levant, dalam istilah bahasa Perancis lama iaitu merujuk kepada ‘Lands of Rising Sun’ iaitu wilayah sekitar Syria dan termasuk Lubnan, Israel, Palestin dan Jordan. Kumpulan ini dikatakan mendapat tempat di hati segelintir penduduk Syria pada sekitar 2013.

Ia mencapai zaman kemuncak pada 2014, di mana pernah mempunyai kekuatan tentera seramai 30,000 orang yang dipimpin “ Khalifah ” Abu Bakar al Baghdadi dan menjadikan Mosul di Iraq sebagai ibu kota “Kerajaan Islam”.

Meskipun kekuatannya dimusnahkan selepas Mosul berjaya ditawan semula oleh Tentera Bersekutu dengan dibantu tentera Iraq, IS masih menjadi ancaman utama di kawasan tertentu di Syria seperti di Deir az Zour yang bersempadan dengan Iraq masih memberi penentangan.

Begitu juga dengan Al Qaeda, yang bersekutu dengan Hayat Tahrir al Sham (HTS), kumpulan penentang terbesar di Idlib pada ketika ini. Di zaman kemuncak konflik, terdapat lebih 105 kumpulan di negara itu.

Berbeza dengan isu Palestin, yang mana tanah mereka dirampas oleh pendatang Yahudi, apa yang berlaku di Syria adalah sengketa sesama sendiri dengan pelbagai fahaman dan ideologi. Perseteruan itu hakikatnya menjadi penyumbang utama kematian di kalangan orang awam.

Berbeza dengan isu Palestin, yang mana tanah mereka dirampas oleh pendatang Yahudi, apa yang berlaku di Syria adalah sengketa sesama sendiri dengan pelbagai fahaman dan ideologi. Perseteruan itu hakikatnya menjadi penyumbang utama kematian di kalangan orang awam.

Bermula dari 15 Mac 2011 sehingga 31 Disember 2018, Syrian Observatory for Human Rights(SOHR) mengesahkan lebih 560,000 telah terbunuh.

Mengulas perkara yang sama, Syrian Network for Human Rights (SNHR) pada awal tahun ini melaporkan 4,162 orang telah menemui ajal di tangan tentera regim Bashar al Assad pada 2018.  Selain itu kumpulan pelampau Islam turut menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah korban pada tahun lalu.

Dianggarkan 478 rakyat Syria telah menjadi mangsa. Daripada jumlah itu, seramai 446 orang mati angkara IS. Ia membabitkan 82 nyawa kanak-kanak dan 41 wanita. Manakala 32 lagi dibunuh Hayat Tahrir al Sham (HTS), sekutu Al Qaeda.

Sementara itu, tentera Rusia pula bertanggungjawab menyebabkan kematian 467 orang termasuk 169 kanak-kanak dan 51 wanita. Begitu juga dengan Tentera Bersekutu yang dipimpin Amerika Syarikat.

Sekurang-kurangnya 417 orang telah terbunuh dalam pelbagai operasi yang dilancarkan bagi menggempur IS. 175 daripada mereka adalah kanak-kanak. Turut berada disenarai teratas, kumpulan bersenjata Kurdish yang bertanggungjawab menyebabkan kematian 285 nyawa.

Tidak terkecuali Free Syrian Army (FSA), yang mewakili pakatan penentang anti kerajaan di Syria. Sekurang-kurangnya 48 orang dilapor mati di tangan mereka. Dalam laporannya, SNHR  berkata, 1,107 orang lagi termasuk 247 kanak-kanak dan 145 wanita telah dibunuh pelbagai pihak yang bertelagah.

Jika diteliti, penentangan selama lapan tahun terhadap pentadbiran Damsyik tidak memihak kepada kumpulan anti kerajaan. Resolusi demi resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sidang di Geneva serta di Sochi tidak memberi sebarang kesanpun kepada keganasan yang berlaku.

Bahkan kemasukan tentera Rusia sejak 2015, telah membantu dengan lebih berkesan Bashar untuk mengukuhkan cengkaman di kawasan yang dulunya jatuk ke tangan kumpulan anti kerajaan. Sedikit demi sedikit mereka dihalau ke utara. Pada ketika ini, kedudukan sebahagian besar mereka yang terkepung di Idlib semakin tertekan dengan asakan bertubi-tubi dari regim dan sekutunya, Rusia.

Ia menyaksikan kedudukan regim terhadap rakyat Syria semakin kukuh namun nasib lebih 12 juta pelarian yang menjadi mangsa konflik sama seperti sebelumnya, tidak tentu hala. 

Mungkin pada 2019 polar sebahagian besar pelarian dalam negara (IDP) tidak seperti dengan tahun-tahun sebelumnya kerana mereka telah dipindah secara paksa dari Timur Ghoutah, Yarmouk, Hama, Homs dan lain-lain tetapi kesan kemusnahannya lebih teruk.

Keadaan di Idlib misalnya amat kritikal kerana pada masa kini terdapat lebih 3.7 penduduk dan pelarian berlindung di situ. 

Kepadatan yang tinggi menyebabkan sumber yang ada tidak dapat menampung keperluan. Sebahagian besar mereka terpaksa bergantung ihsan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari serata dunia untuk kelangsungan hidup.

Meskipun keadaannya amat mendesak, perhatian yang diberikan semakin suam-suam kuku. Lihat sahaja perkembangan terkini. 

Sejak 9 Februari lalu, sehingga 15 Mac 2019 berapa kerat laporan pembantaian ke atas orang awam di Al Boghouz, Deir az Zour oleh tentera SDF dan Tentera Bersekutu serta serangan regim Bashar di Idlib mendapat perhatian media antarabangsa.?

Penggunaaan bom fosforus ke atas orang awam oleh mereka kali ini seakan direstui kerana tiada langsung bangkangan daripada pemimpin negara lain, apatah lagi untuk diusul ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk perbuatan itu.

Oleh itu, apa yang tertera di peta Syria adalah kawasan deescalation zones‘ atau zon bebas perang serta demilitarized zones (DMZ) atau zon bebas tentera hanya bersifat penampan. Ia tidak selamanya melindungi nyawa orang awam yang menyelamat diri dari konflik sekiranya tiada penyelesaian. 

Apakah suara-suara mereka yang berjuang untuk menegak hak rakyat yang dirampas regim semakin tenggelam dengan strategi serta percaturan kuasa besar?  

Tanpa kesatuan sesama sendiri, aspirasi rakyat Syria untuk menegakkan keadilan akan sia-sia. Kini selepas lapan tahun, isu yang paling besar adalah menangani krisis kemanusiaan pasca konflik.  Namun tanpa kerjasama kumpulan penentang, bagaimana ia akan dapat direalisasikan.?

*  RAZALI AWANG ialah perunding Media Syria Care

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply