600 keluarga Islam diusir daripada Hojai

Last Updated on

Masyarakat Islam di Hojai ditindas KAAC. – Foto Sinar Harian

HOJAI, 26 Mac – Selepas bertarung nyawa selama lima hari di hospital di Guwahati, Kulsuma Begum akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya pada 11 Mac lalu.

Menurut ibu mertuanya, pasukan polis dan separa tentera menyerbu kediamannya dan mengheret Kulsuma yang baru melahirkan bayi lelaki kira-kira dua jam sebelum itu ketika operasi pengusiran di perkampungan Sarkebasti di daerah Hojai, Assam terletak kira-kira 150 kilometer timur Guwahati.

Sinar Harian melaporkan daripada AL-Jazeera menyebutkan pihak berkuasa di Majlis Autonomi Karbi Anglong (KAAC) didakwa mengusir lebih 600 keluarga Islam secara paksa dari tanah mereka di Hojai atas alasan kononnya mereka telah mencerobohi tanah kerajaan.

“Tujuh hingga lapan anggota polis menyerbu rumah dan merampas beberapa barang. Apabila saya pulang, saya melihat Kulsuma terbaring kaku di atas lantai. Saya segera mengambil cucu saya kerana bimbang mereka mungkin membunuhnya,” kata Ramisa Khatun, 50.

Susulan kejadian mencetuskan kemarahan orang ramai itu, aduan ke atas beberapa pegawai KAAC telah dibuat kepada polis.

“Kes telah didaftarkan dan siasatan sedang dijalankan,” kata Timbalan Pesuruhjaya Hojai, Tanmoy Borgohain.

Leave a Reply