Daun pisang ganti sejadah

Last Updated on

KUALA LANGAT – Demi tuntutan tugas, anggota bomba dan penyelamat yang terpaksa ‘berkampung’ di lokasi kebakaran tanah gambut di Bukit Kemandol di sini menunaikan solat dengan hanya beralaskan daun pisang.

Dalam satu kiriman gambar diterima Sinar Harian, kelihatan tiga anggota bomba menunaikan solat berjemaah di ladang kelapa sawit yang sebahagian besarnya sudah terbakar.

Pasukan bomba dan penyelamat terpaksa ‘berkampung’ di ladang kelapa sawit itu bagi operasi pemadaman api tanah gambut sejak Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi pemadaman kebakaran tanah gambut itu disertai 55 anggota bomba dan empat pegawai kanan.

“Kejadian kebakaran berlaku pada Rabu lalu dan hari ini masuk hari keenam anggota bomba melaksanakan kerja-kerja pemadaman api. Operasi dijangka selesai esok,” katanya.

Dalam pada itu, Norazam menasihatkan pekebun supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan kering.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalanraya supaya tidak membuang puntong rokok merata-rata di tepi lebuh raya. -SINAR HARIAN

Leave a Reply