Beri penekanan kepada keseimbangan tugas, keluarga

Last Updated on

Datuk Azih Muda (dua, kanan) menyerahkan cenderamata kepada Dr Wan Azizah (kanan) ketika merasmikan Majlis Makan Malam dan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2019 semalam.
– Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan dan swasta perlu terus memainkan peranan dalam memastikan pekerja mereka dapat mengimbangi tugas dan keluarga.

Beliau berkata penekanan kepada keseimbangan dari segi kerjaya dan pengurusan rumah tangga perlu supaya anggota keluarga yang berada dalam entiti tersebut tidak terkesan daripada kesibukan ibu bapa yang bekerja.

“Kita mahu pastikan setiap anggota keluarga saling menyayangi dan meluangkan masa bersama supaya anak-anak kita tidak terlibat dengan sebarang gejala sosial,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jamuan malam dan sambutan Hari Wanita 2019 anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini malam tadi.

Dr Wan Azizah berkata keseimbangan itu boleh dicapai antaranya melalui langkah seperti pelaksanaan waktu kerja fleksibel dan penyediaan taska di tempat kerja. Dalam ucapan itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh sasaran 30 peratus anggota lembaga pengarah (ALP) wanita di syarikat tersenarai awam (PLC) yang diumumkan pada 2011.

Dr Wan Azizah berkata statistik bagi 2018 menunjukkan 1,010 atau 15.7 peratus daripada 6,245 kerusi ALP di semua syarikat PLC diisi oleh wanita.

Bagi 100 PLC teratas pula, penyertaan wanita sebagai ALP meningkat kepada 24.4 peratus pada 2018 berbanding 19.27 peratus pada tahun sebelumnya, kata beliau. – SINAR HARIAN

Leave a Reply