Lima negara Eropah tolak resolusi iktiraf Bukit Golan

Last Updated on


Duta Belgium, Pesteen de Buytswerve, ditemani empat duta lain menolak keputusan Trump mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel. – Foto Sinar Harian

NEW YORK, 27 Mac – Lima negara Kesatuan Eropah yang juga anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), menolak keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel.

Sinar Harian memetik laporan AFP menyebutkan Belgium, Britain, Perancis, Jerman dan Poland sepakat dengan pendirian Bukit Golan kekal sebagai wilayah Syria yang diduduki Israel, sejajar dengan undang-undang antarabangsa yang termaktub dalam resolusi PBB.

“Kami tidak mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas semua wilayah yang didudukinya termasuk Bukit Golan sejak Jun 1967,” kata Duta Belgium, Pesteen de Buytswerve kepada wartawan, ditemani empat duta lain.

Kelima-lima negara Eropah berkenaan turut menzahirkan kebimbangan berhubung konflik baharu yang mungkin tercetus di Timur Tengah akibat keputusan Trump itu.

Dalam pada itu, terdapat tiga resolusi Majlis Keselamatan yang menuntut pengunduran rejim Israel dari Bukit Golan yang dirampas dari Syria ketika Perang Enam Hari pada 1967.

Terdahulu, Trump menandatangani deklarasi di mana AS mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik rejim Israel.

Menurut pemangku jawatan duta AS Jonathan Cohen, keputusan Washington dibuat atas dasar mahu menentang kekejaman Presiden Bashar al-Assad dan Iran.

Leave a Reply