Tragedi Christchurch: Permulaan sebuah negara impian

Last Updated on

Oleh Rozais al-Anamy

WELLINGTON, NEW ZEALAND –  Ribuan penduduk New Zealand hari ini menghadiri upacara memperingati mangsa pembunuhan oleh pelampau kulit putih warga Australia dalam serangan di dua masjid di Christchurch dua minggu lalu.

Hadirin upacara memperingati mangsa pembunuhan Christchurch di Hagley Park. FOTO REUTERS

Suasana hening, hadirin senyap berdiri menekurkan kepala tatkala 50 nama mangsa dibacakan dengan kuat.

Upacara itu diiringi doa oleh penyanyi terkenal Britain, Cat Stevens atau nama Islamnya, Yusuf Islam. Beliau juga mendendangkan lagu “Peace Train”, lagu yang berkisar tentang sebuah impian mengangkut generasi untuk ke dunia yang lebih baik.

Lirik lagu “Peace Train” nyanyian Cat Steven dalam upacara hari ini tepat dan sesuai dengan hasrat kedamaian yang diingini setelah tragedi yang berlaku.

Lagu dan penyanyi yang dipilih bertepatan dengan suasana dan upacara itu, di mana tragedi terancang itu menunjukkan dunia ini semakin bobrok dan berantakan oleh salah faham antara bangsa dan agama.

Bertemakan ‘Kita Adalah Satu’, ia ditayangkan secara langsung oleh stesen televisyen rasmi New Zealand yang dihadiri Perdana Menteri Jacinda Ardern juga disertai wakil 59 negara, rakan sejawat dari Australia, Scott Morrison serta puluhan ribu tetamu lain.

Jacinda Ardern hadir ke upacara memperingati 50 mangsa pembunuhan oleh Brenton Tarrant di Hagley Park. FOTO REUTERS

Ardern yang memakai jubah tradisional Maori memuji rakyat New Zealand yang bertindak mendekati dan membantu masyarakat Islam susulan serangan itu.

Datuk Bandar Christchurch, Lianne Dalziel menyatakan tragedi itu adalah serangan ke atas semua penduduk bandar berkenaan.

Speaker memberi penghormatan kepada mangsa yang maut dan mereka yang terselamat dalam serangan itu, termasuk 22 orang yang masih dirawat di hospital, dan antaranya termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dalam keadaan kritikal.

Azra Chida yang kehilangan dua sahabat karib, Linda Armstrong dan Ata Elayyan datang dari Auckland untuk turut sama memberi penghormatan kepada mangsa dan melawat keluarga mereka serta mangsa di hospital.

Manakala penduduk tempatan, Bobby Turner pula memberitahu, kehadiran beliau adalah atas semangat perpaduan dan membuktikan keprihatinan. Beliau yang menyifatkan tragedi itu sebagai malapetaka amat dahsyat itu juga kesal kerana mangsa ditembak dalam menunaikan hak individu mereka iaitu sewaktu beribadat.

“Waktu sembahyang seharusnya berlangsung dengan penuh ketenangan dan dipenuhi rasa cinta terhadap agama,” katanya, sebagaimana laporan AFP.

Tetamu juga berpeluang mendengar ucapan daripada mangsa terselamat. Antara ucapan paling menusuk sanubari disampaikan oleh Farid Ahmed yang kehilangan isterinya Husna dalam kejadian itu. Husna terbunuh untuk menyelamatkan Farid yang kurang upaya dan berkerusi roda.

Farid Ahmed, mangsa yang terselamat dalam serangan Christchurch memaafkan Tarrant demi kasih sayang yang dianjurkan agama Islam.

Farid memaafkan pengganas, Brenton Tarrant demi meraih kasih sayang Allah, kerana baginya Allah menyayangi orang yang suka memaafkan antara satu sama lain.

“Saya tidak mahu membawa hati yang sarat menggelegak seperti gunung berapi, penuh kemarahan dan dendam. Ia akan membakar diri dan persekitaran.

“Saya mahu hati penuh kasih sayang dan ihsan. Hati ini tidak mahu lagi ada kehilangan, dan saya berharap tidak ada orang lain melalui apa yang saya lalui sekarang”, ucap Farid sebagaimana laporan dikeluarkan AFP.

Sifat pemaaf Farid menewaskan sebuah kebencian dan kejahatan yang dipromosi oleh Tarrant. Sekaligus ia membuktikan Islam itu menyeru perdamaian, sebagaimana maksud Islam itu sendiri – selamat dan sejahtera.

Sifat redha dan perasaan cinta yang subur dalam diri Farid adalah satu dakwah kepada masyarakat bukan Islam dan mereka yang diserang wabak Islamofobia, dan pengorbanan Husna, isterinya mungkin suatu tanda Islam akan mekar di bumi kiwi.

Menyifatkan serangan yang diinspirasikan oleh kebencian dan bertujuan memecah belah perpaduan masyarakat yang aman di negara Selandia Baru itu sebagai gagal, Farid merumuskan satu hikmah daripadanya, ia lebih menyatukan mereka.

Setelah tragedi itu, suatu suasana yang lebih akrab dan melahirkan perasaan kasih dan sayang tidak berbelah bahagi, tanpa mengira asal usul serta keturunan telah semarak dalam kalangan mereka.

Sifat redha dan perasaan cinta yang subur dalam diri Farid adalah satu dakwah kepada masyarakat bukan Islam dan mereka yang diserang wabak Islamofobia, dan pengorbanan Husna, isterinya mungkin suatu tanda Islam akan mekar di bumi kiwi.

*ROZAIS AL-ANAMY adalah penulis sastera dan penulis bebas di akhbar, majalah dan portal di Malaysia.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply