Tidak malu atau memalukan?

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

BERGEGAR dunia dengan berita serangan pengganas di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand. Berlumpur negara dengan berita kesan pencemaran di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Johor. Dua peristiwa berskala besar yang tiada hubung kait antara satu sama lain tetapi amat menyentuh emosi dan menarik perhatian rakyat di negara ini. Apa sudah berlaku? Inilah persoalan yang mengasak fikiran ketika ini.

Secepat kilat beberapa individu dan golongan tertentu memberikan reaksi. Mereka cuba mengambil kesempatan dari setiap peristiwa sensasi agar digelar juara dan dapat menawan perhatian rakyat. Mereka ingin dijulang sebagai hero walaupun hanya memegang watak sebagai pelakon tempelan.

Bila reaksi massa tidak seindah seperti yang diharapkan, sepantas kilat mereka menarik balik hujah songsang yang sudah dimuntahkan. Kerana apa? Malu atau khuatir kehilangan sokongan?

ISIS adalah kumpulan militan yang jelas bertopengkan Islam.

Dari sudut agama pula, terdapat kumpulan yang mengaitkan diri mereka dengan Islam seperti ISIS, DAESH dan Al-Qaeda. Mereka berasa bangga melakukan keganasan tanpa batasan dengan alasan berjihad kerana Allah. Manakala aktivis muslim liberal, sekular dan yang berfahaman pluralisme tidak segan silu memperjuangkan kebebasan amalan beragama tanpa bersandarkan kepada konsep tauhid yang sahih.

Persoalannya, mengapakah golongan di atas menggunakan nama Islam walaupun perjuangan mereka jelas bertentangan dengan prinsip dan roh Islam itu sendiri?

Tidakkah mereka berasa malu dengan tindakan songsang yang memalukan umat Islam?

Mempromosikan LGBT merupakan salah satu agenda zionis dalam menyesatkan umat manusia.

Secara umum, perasaan malu adalah emosi yang dialami mengenai bagaimana diri seseorang dilihat dari kaca mata orang lain. Orang yang berasa malu terasa dirinya kecil dan ingin menyembunyikan keaibannya dari pengetahuan orang lain.

Sebahagian ahli psikologi dan sosiologi menggelarkan perasaan malu sebagai “master emotion” kerana setiap orang sangat sensitif dengan anggapan negatif orang lain terhadap dirinya. Namun begitu, perkara yang memalukan dan tahap perasaan malu bergantung kepada faktor harga diri, nilai sesuatu perkara kepada diri seseorang, dan budaya dalam persekitaran kehidupan seseorang.

Adakah perasaan malu sesuatu yang subjektif mengikut tafsiran seseorang dan relatif kepada situasi dan persekitaran?

Rasulullah saw mengingatkan kepada umatnya tentang pentingnya perasaan malu.

Dalam bidang Cognitive Dissonance Psychology, pada kebiasaannya, orang yang tidak berasa malu adalah individu yang berjaya meyakinkan dirinya dengan alasan-alasan tertentu bagi mewajarkan perlakuan dan tindakannya.

Tidak hairanlah jika ada orang yang berasa tidak malu, malahan bangga melakukan perkara-perkara yang dianggap memalukan dan keji.

Di sinilah pentingnya peranan nilai-nilai agama Islam kepada umatnya agar mereka tidak terpesong dari akhlak dan amalan-amalan yang dituntut oleh Allah SWT.

Berbalik kepada isu kerohanian, sosial, kemasyarakatan, ekonomi dan politik yang sedang berlaku di negara ini, terlalu banyak kes yang melibatkan pemimpin dan individu tertentu yang terkeluar dari garis panduan Islam. Namun apa yang didapati, tindakan yang mengaibkan sudah diterima sebagai “new normal”. Malahan dalam pentas politik, “negative new normal” seolah-olah diperlukan dan digalakkan untuk memenangi minda dan hati rakyat. Kenapa?

‘New Normal’ adalah sesuatu fenomena yang bakal meruntuhkan generasi muda sekiranya tidak dibendung.

Terdapat pemimpin yang berasa malu jika ada sesuatu perkara mencabar keegoannya, tetapi ia tidak berasa malu apabila mengaibkan seseorang dengan fitnah, penipuan dan pembohongan. Ada pula kumpulan yang terasa dimalukan apabila perjuangannya didapati menyongsang dari kebenaran, tetapi ia tidak terasa malu untuk mempertahankan kepincangan yang berlaku dalam kumpulannya.

Dalam Islam, perasaan malu dikaitkan dengan tahap keimanan seseorang kepada Allah SWT. Islam mendidik umatnya untuk merendah diri dan bergantung harap kepada Pemilik alam secara mutlak.

Tafsiran pelik terhadap ajaran Islam dilakukan sesetengah pihak agar ‘bersesuaian’ dengan kehendak dan agenda mereka.

Kepincangan tafsiran mengenai hakikat kehebatan diri telah mendorong seorang muslim untuk membentuk sikap ego yang tercela dan imej diri yang terpesong. Hasilnya, individu ini bukan sahaja angkuh kepada manusia malahan ia juga tidak berasa malu kepada Al-Rabb.

Inilah kesannya apabila Islam diperjuangkan mengikut kepelbagaian selera. Apakah sikap begini perlu disambut dengan kompang dan diraikan dengan bunga manggar dalam sebuah negara Islam seperti Malaysia.

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply