Pengiktirafan UEC: Rais bidas tindakan Peguam Negara

Last Updated on

Tan Sri Rais Yatim

SHAH ALAM – Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim, membidas tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di bawah persijilan profesion undang-undang dan syarat menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Menurut beliau, keputusan yang dibuat secara ‘unilateral’ (sebelah pihak) itu secara tidak langsung mendatangkan risiko terhadap kenegaraan dan keutuhan jurusan pendidikan nasional.

“Kamu seharusnya menunggu kementerian berkaitan menjalankan perbincangan dan pertimbangan serta seterusnya, dirujuk ke Kabinet sebelum keputusan dibuat.

“”Dalam pendidikan undang-undang kamu mengiktiraf UEC, sedangkan dalam sistem vernakular keputusan belum diputuskan,” katanya dalam nota bantahan kepada Tommy yang dimuatnaik dalam laman Facebook, hari ini.

Menurut Rais, tindakan mengiktiraf UEC sekali gus, menyebabkan negara mempunyai dua saluran pendidikan rasmi.

Dalam pada itu, bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan itu turut mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching yang membuat pengumuman berhubung pengiktirafan UEC sebagai prasyarat menduduki peperiksaan CLP.

“Dakwaan orang ramai mengenai peguam negara terjebak dalam politik partisan semakin kuat susulan Nie Ching mengumumkan pengiktirafan UEC ke atas bidang undang-undang bagi pihak Jabatan Peguam Negara.

“Lebih baik Tommy yang mengeluarkan kenyataan terbabit supaya Nie Ching tidak mengeksploitasi kedudukannya,” jelasnya.

Terdahulu, Jumaat lalu Tommy merangkap Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB), mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan bagi menduduki peperiksaan CLP. – SINAR ONLINE

Leave a Reply