UMMAH, PPIM lancar Kempen Beli Produk Muslim di seluruh negara

Last Updated on

Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya (enam dari kiri) dalam majlis pelancaran Kempen Beli Produk Muslim, yang berlangsung di Megaview Banquet Deck, Menara Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Kempen Beli Produk Muslim di seluruh negara hari ini bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan umat Islam.

Kempen yang bertujuan melonjakkan ekonomi orang Islam ini juga mengetengahkan produk serta perkhidmatan halal seluruh negara dan membina jaringan perniagaan yang lebih meluas.

Hal ini dinyatakan Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya pada majlis pelancaran kempen tersebut di Megaview Banquet Deck, Menara Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, sokongan padu daripada umat Islam sangat penting kerana masih banyak lagi produk muslim yang tidak diketengahkan dan diumpamakan seperti ‘hidup segan mati tak mahu’.

“Kita bukan tolak produk orang lain. Tetapi kita nak beri keutamaan kepada produk orang Islam. Jangan fikir negatif kononnya asal Melayu sahaja tak bagus, asal Melayu sahaja tak baik.

“Mungkin ada sedikit kekurangan, dari segi pengedaran, kualiti, promosi. Namun akan dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Aminuddin juga menegaskan, dalam dunia ini tidak pernah berlaku golongan majoriti kalah ekonominya dengan golongan minoriti. Maka beliau menyeru kepada semua agar memberi sokongan kepada produk muslim sendiri untuk mengatasi kepincangan itu.

“Banyak produk muslim di pasaran, cuma yang kurang adalah sokongan daripada orang kita. Maka, kita berharap pelancaran kempen bersama PPIM hari ini, akan dapat digerakkan di seluruh Malaysia dengan jayanya,” jelasnya lagi.

Selain itu, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menaruh harapan agar produk-produk muslim di negara ini suatu hari nanti akan menjadi ikon kepada Malaysia.

“Kita akan bina satu syarikat gergasi yang boleh disenaraikan di dalam Bursa Saham. Kita juga harap melalui kempen ini dapat memberi kesedaran kepada umat kita bahawa cukuplah untuk mengkayakan orang lain. Kita kena kayakan orang Islam pula.

“Saya yakin kita boleh buat. Walaupun orang kata orang Melayu ni lemah, malas. Itu semua doktrin yang tak betul. Kita hebat. Kita kena yakin kita boleh buat. Nasib kita adalah di tangan kita. Kita tak boleh nak harapkan orang lain tolong bangsa kita,” katanya.

Leave a Reply