Terima kasih Mr. Presiden!

Last Updated on

Oleh Dr Azmi Hassan

RATA-RATA rakyat Malaysia terkejut, kecewa dan marah apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan dua minggu lepas Washington mengiktiraf Bukit Golan adalah milik Israel.

Pengumuman White House ini membawa implikasi bahawa dasar luar AS mengenai Bukit Golan selepas ini menjurus kepada Israel adalah pemiliknya walaupun masyarakat antarabangsa menyatakan sebaliknya.

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, memegang proklamasi mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan, pada majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di Rumah Putih, Washington. – FOTO REUTERS

Perlu diperjelaskan selepas Israel menewaskan tentera negara Arab dalam Perang Enam Hari pada 1967, rejim tersebut telah merampas beberapa wilayah negara Arab iaitu Bukit Golan dari Syria, Semenanjung Sinai dan Gaza dari Mesir dan Tebing Barat dari Jordan. Sinai kembali menjadi milik Mesir pada 1979 ekoran perjanjian dimeterai diantara Mesir dan Israel.

Tentera Israel pula berundur dari Gaza pada 2005 tetapi cengkaman ketenteraan tetap dikenakan walaupun Gaza sudah mempunyai kerajaan pemerintah. Sementara itu melalui Perjanjian Oslo pada 1993, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diberi mandat untuk mentadbir Tebing Barat.

Mengapa dihujahkan ada hikmahnya apabila Trump mengiktiraf secara rasmi pemilikan Bukit Golan kepada Israel kerana itulah dasar Amerika selama ini.

Walaupun presiden AS sebelum Trump tidak menzahirkan dasar itu secara rasmi, tetapi hakikatnya AS mengiktiraf secara tersirat walaupun masyarakat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Bukit Golan adalah milik Israel.

Walaupun presiden AS sebelum Trump tidak menzahirkan dasar itu secara rasmi, tetapi hakikatnya AS mengiktiraf secara tersirat walaupun masyarakat antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Bukit Golan adalah milik Israel.

Serupa juga apabila Trump mengumumkan secara rasmi pada Disember 2017 untuk memindahkan pejabat kedutaan AS di Tel Aviv ke Baitulmaqdis, reaksi rakyat Malaysia adalah serupa iaitu terkejut, kecewa dan marah.

Seperti mana negara Arab kehilangan Bukit Golan, Semenanjung Sinai dan Gaza serta Tebing Barat akibat tewas dalam perang 1967, Baitulmaqdis Timur dibawah kawalan Jordan sebelum perang 1967 meletus turut dirampas oleh Israel.

Dari segi diplomatiknya arahan perpindahan ini ditafsirkan sebagai AS mengiktiraf Baitulmaqdis Timur milik Israel sedangkan status bandar bersejarah tersebut sepatutnya diputuskan oleh pihak yang bertelagah iaitu Palestin dan Israel dan bukannya secara unilateral seperti yang dibuat oleh AS.

Banyak lagi dasar Trump yang tidak adil kepada negara dan umat Islam, antaranya larangan penerimaan pelarian dari negara Islam.

Sebenarnya dasar berat sebelah ini sudah lama diamalkan secara tersirat oleh White House tetapi Trump yang dianggap sering membuat keputusan secara unilateral dan semberono hanya melakukakan secara tersurat apa yang tersirat selama ini.

Donald Trump

Tindakan Trump dianggap berat sebelah dan dilakukan secara semberono kerana enggan mendengar cadangan dari penasihat Timur Tengah terutama sekali negara Arab yang berkeupayaan untuk memberi tekanan kepada AS supaya lebih berlaku adil.

Jika Trump mengambil pendekatan seperti mana Barack Obama atau George W. Bush sebelum ini yang mengamalkan dasar berat sebelah tetapi secara tersirat, tekanan dari negara Arab sukar untuk dikenakan.

Sebaik sahaja Trump mengumumkan perpindahan pejabat kedutaan mereka di Tel Aviv, Liga Arab telah mengeluarkan amaran terhadap mana-mana negara yang menuruti jejak langkah AS, negara Arab akan memutuskan hubungan dagang dengan negara berkenaan.

Kesannya setakat hari ini hanya beberapa negara seperti Australia dan Brazil yang mengumumkan akan memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis tetapi pengumuman tersebut tinggal pengumuman tanpa langkah berpindah secara fizikal dilakukan.

Negara Arab dianggap paling efektif untuk memaksa AS bertindak lebih adil kerana faktor sektor industri pertahanan AS. Selain itu, ia mempunyai pengaruh yang kuat terhadap ekonomi dan politik AS, tetapi tidak sehebat pengaruh Israel, telah mula bertindak melalui Liga Arab demi memberi tekanan kepada AS.

Negara Arab seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah antara negara pembeli senjata utama AS. Jika tiga negara Arab ini mengurangkan jumlah perolehan senjata dari AS, industri pertahanan yang menyediakan pekerjaan kepada lebih 3 juta rakyat AS akan terjejas. Sekali gus senario seperti ini akan memberi kesan bukan sahaja ekonomi Amerika tetapi juga politik terutama sekali jawatan presiden AS.

Sebab itu dikatakan ada baiknya kepada dunia Islam bahawa AS mempunyai presiden seperti Trump kerana setiap tindak tanduk beliau walaupun dianggap kasar dalam dunia diplomasi antarabangsa, tetapi hakikatnya itulah dasar sebenar AS terhadap apa jua yang berkait dengan Islam. Terima kasih Mr. Presiden!    

*Dr Azmi Hassan adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)       

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply