UEC: ProGuam lihat dari sudut profesionalisma peguam berbeza

Last Updated on

Gambar hiasan

SHAH ALAM, 5 April – Pertubuhan Pengamal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Malaysia (ProGuam) bersetuju kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa hanya kerajaan boleh mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) bagi menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Presidennya, Noorazmir Zakaria berkata, dari sudut profesionalisma peguam ia berbeza dan seharusnya dilihat secara terperinci.

Menurutnya, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia (LPQB) telah mengiktiraf lulusan UEC untuk menduduki CLP sejak hampir 20 tahun dahulu.

“Namun, pada hari ini masyarakat keliru dengan menganggap UEC seperti ijazah walaupun sebenarnya UEC ini adalah standard seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Individu yang mahu menduduki peperiksaan itu mesti memenuhi syarat dan kemudiannya tetap mengambil ijazah dalam undang-undang di peringkat universiti pula,” katanya kepada Sinar Harian.

Noorazmir berkata, mereka yang tidak bersetuju itu mengambil kira sentimen kaum semata-mata selain tidak faham apa itu UEC dan di peringkat mana.

Jelasnya, adalah tidak munasabah sekiranya membandingkan UEC di peringkat sekolah dan di peringkat kerjaya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keputusan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) hanya boleh dibuat oleh kerajaan.

Katanya, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat LPQB bagi mengiktiraf sijil itu hanyalah pendapat mereka sahaja.

Semalam, Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor turut memaklumkan LPQB telah mengiktiraf UEC untuk menduduki CLP sejak hampir 20 tahun lalu.

Leave a Reply