Statut Rom: G25 kecewa keputusan kerajaan

Last Updated on


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan (G25) kecewa keputusan kerajaan yang tunduk kepada pembangkang seterusnya memutuskan menarik diri daripada Statut Rom yang ditandatangani pada 4 Mac lepas.

Menerusi kenyataan kumpulan tersebut, G25 menyifatkan tindakan berpatah balik kali kedua dilakukan kerajaan selepas melakukan perkara sama dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut kumpulan itu, tindakan sebegitu mencipta persepsi bahawa Malaysia sekarang sedang ditadbir dengan sentimen kaum dan agama, bukan dengan piawaian keadilan universal.

“Kami tidak dapat memahami kenapa terdapatnya kebimbangan Statut Rom akan menempatkan Sultan dan Yang di-Pertuan Agong serta Islam berada dalam risiko untuk tertakluk kepada perundangan antarabangsa.

“Sedangkan mereka merupakan monarki berperlembagaan yang memerintah dengan nasihat kerajaan. Sebaliknya, jika mana-mana Sultan melakukan jenayah serius, maka baginda akan dibawa ke muka pengadilan di bawah lunas perundangan negara kita.

“Tidak ada keperluan merujuk perkara tersebut ke ICC (Mahkamah Jenayah Antarabangsa) kerana ahli keluarga diraja tidak mempunyai kekebalan daripada dakwaan jenayah,” memetik kenyataan tersebut.

Katanya lagi, G25 menggesa kerajaan menggalakkan isu Statut Rom dibincangkan dan didebatkan di semua peringkat masyarakat termasuk di kampus universiti, forum masyarakat sivil dan di kampung serta di bandar-bandar di seluruh Malaysia.

“Selepas masyarakat negara ini dapat memahami dengan lebih baik mengenai Statut Rom, maka hal tersebut dapat dibawa ke Parlimen bagi memutuskan keputusan terakhir yang berdasarkan kepada kehendak masyarakat

“Ia seperti dicerminkan oleh wakil rakyat mereka dalam menentukan sama ada memperakui atau menolak perjanjian tersebut dan untuk bertahan dengan keputusan tersebut. Begitulah caranya untuk sebuah demokrasi berparlimen bekerja,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa perubahan polisi akan sukar diterima sesetengah pihak namun apabila majoriti masyarakat bersuara melalui proses yang betul mereka pasti dapat menerima keputusan itu sebaiknya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul.

Beliau berkata, Malaysia menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun tahun ini. – SINAR ONLINE

Leave a Reply