Dendam atau benci

Last Updated on

Oleh: Dr Yahya Mat Som

Adakah akibat dari media sosial dan berita palsu yang menyebabkan Brenton Tarrant melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam di dalam masjid di New Zealand baru-baru ini?

Peristiwa ini jelas menunjukkan pengaruh media yang bebas mencanang Islamofobia telah terbukti memberikan kesan buruk kepada emosi dan kewajaran tindakan seseorang.

Wajarkah lima puluh nyawa umat Islam gugur dalam masa kurang daripada dua minit hasil dari laungan Islamofobia yang diuar-uarkan?

Inilah akibatnya apabila kebencian disusuli oleh dendam!

Secara umum, istilah dendam diertikan sebagai tindakan yang boleh mendatangkan musibah kepada seseorang melalui tindak balas untuk mencari kepuasan. Sementara kebencian merujuk kepada perasaan tidak suka kepada sesuatu kerana perbezaan identiti atau berada dalam keadaan tertekan atau terancam.

Brenton Tarrant telah melepaskan kebenciannya terhadap umat Islam dengan membunuh 50 orang muslim di masjid.

Ramai pakar psikologi berpendapat bahawa seseorang berdendam untuk mencari keadilan kerana ia terasa dianiayai. Melepaskan dendam adalah salah satu cara untuk mempertahankan diri atau untuk mengawal sesuatu perkara negatif dari diulangi.

Pandangan seperti ini logik, tetapi tidak semua yang logik adalah benar dan beretika.

Tidak kurang juga sejumlah pakar yang menyimpulkan bahawa orang yang berdendam berasa yakin tindakannya dapat memberi kepuasan dan meredakan emotional pain. Di sebalik manfaatnya, adakah ia wajar dilakukan?

Pakar tidak mempertikaikan bahawa orang yang memaafkan dan tidak membalas dendam akan lebih tenang. Mereka juga didapati lebih mudah untuk menerima kepelbagaian dan mempunyai emotional intelligence yang tinggi.

Sebaliknya orang yang membalas dendam akan berasa tertekan, resah dan gelisah. Terutama sekali apabila orang yang didendaminya dirasakan tidak mendapat balasan yang setimpal.

Pakar psikologi dan sosiologi sependapat bahawa keinginan seseorang untuk berdendam akan berkurangan selari dengan kefahaman dan kesedarannya mengenai sesuatu kesulitan yang sedang dihadapi. Dari sudut Cognitive Dissonance Psychology pula, adalah jelas bahawa perasaan membenci atau berdendam bergantung kepada tafsiran seseorang mengenai kesan sesuatu tindakan terhadap dirinya.

Dalam keghairahan mempolitikkan isu-isu yang melanda masyarakat, ramai pemimpin yang terlanjur dan tidak sedar bahawa mereka telah menanamkan perasaan kebencian dan mewajarkan sikap berdendam.

Semua pihak kelihatan bertindak wajar untuk mempertahankan reputasi kumpulannya dari menjadi bahan cacian dan momokan. Namun, jika diperhalusi, kitaran tindak balas yang dilontar antara kumpulan jelas mempamerkan ciri-ciri kebencian dan dendam yang sangat berbisa.

Adakah tindakan sedemikian merupakan satu keperluan dalam budaya berpolitik dog eats dog? Atau, perbuatan ini sudah menjadi darah daging yang sukar untuk dibuang?

Ajaran Islam melarang daripada menanam kebencian dan dendam sesama manusia.

Kesannya, rakyat turut terkesan dengan kekotoran tindakan benci-membenci dan berdendam. Minda mereka menjadi lali dan tidak lagi sensitif ketika menerima hasutan. Pembudayaan negatif yang bermula dari pemimpin pasti akan meninggalkan implikasi buruk kepada sosiobudaya masyarakat.

Inikah rupa bentuk sikap generasi pelapis yang akan menerajui negara pada masa hadapan?

Mengapa keinginan untuk berdendam begitu kuat dan terdesak dalam platform politik? Adakah  kerana keegoan, kepincangan nilai-nilai moral, atau adab dan akhlak sudah tidak relevan lagi dalam percaturan mencari pengaruh dan berpolitik!

Tindakan mengaut keuntungan melalui budaya jijik dan kurang matang seperti ini perlu dibanteras. Jika tidak, tindakan ini akan memberi kesan negatif kepada keharmonian hubungan rakyat di negara ini.

Tidak siapa boleh menafikan, fenomena berdendam dan membenci bukan dari syariat Islam.

Islam meletakkan garis panduan yang jelas apabila seseorang ingin bertindak balas dalam perkara-perkara berkaitan jenayah berdasarkan hukum Qisas. Ia bukan satu bentuk kebencian atau dendam. Pelaksanaan, ketentuan dan keputusan untuk bertindak dipandu oleh syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Hasil daripada hukum qisas, orang yang teraniaya akan terbela sementara si pelaku akan terselamat di akhirat.

Sebaliknya, dalam soal membenci dan berdendam dengan lontaran hujah saling memfitnah, mencela dan menghina adalah sama sekali tidak dibenarkan dalam Islam. Tetapi inilah yang menjadi trend politik hari ini!

Ada pihak yang berasa rugi dan tertekan jika tidak mempromosikan kebencian. Ada pihak yang berasa kurang sempurna jika tidak melepaskan dendam. Kesannya, masyarakat yang rosak akhlak akan terus berkembang biak.

Adakah moraliti individu seperti ini yang perlu diteladani dan dijadikan pemimpin?

*Dr Yahya Mat Som adalah pakar dalam bidang Pembangunan Personal dan Profesional (Cognitive Dissonance Psychology)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply