PBB kutuk serangan ke atas lapangan terbang di Libya

Last Updated on

Pemimpin Tentera Kebangsaan Libya (LNA) Jeneral Khalifa Haftar melancarkan serangan bagi menawan Tripoli. – Foto AFP

TRIPOLI, 9 April – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan udara yang menyasarkan satu-satunya lapangan terbang yang masih beroperasi di Libya, semalam.

Kesemua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mitiga terletak di Tripoli terpaksa ditangguhkan, sementara penumpang dipindahkan ke kawasan selamat.

Wakil PBB ke Libya Ghassan Salame berkata, serangan udara yang didalangi penyokong pemimpin Tentera Kebangsaan Libya (LNA) Jeneral Khalifa Haftar itu, melanggar undang-undang kemanusiaan yang melarang serangan ke atas infrastruktur awam.

Sementara itu, jurucakap LNA dipetik sebagai berkata, hanya pesawat MiG yang berada di lapangan terbang terbabit menjadi sasaran serangan.

Setakat ini, tiada laporan kematian diterima ekoran serangan terbabit.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Fayez al-Serraj menuduh Jeneral Haftar cuba melancarkan rampasan kuasa terhadap Kerajaan Kebangsaan (GNA) dan menawan Tripoli.

Kementerian Kesihatan Libya pula memaklumkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh manakala 80 lagi cedera sejak pertempuran minggu lalu.

Libya mula dibelenggu pertempuran ganas, kemelut politik dan perebutan kuasa sejak kematian Muammar Gaddafi pada 2011. – Sinar Harian

Leave a Reply