Pendeposit TH jangan buat pengeluaran panik: Ismail Sabri

Last Updated on


Datuk Seri Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan umat Islam supaya mengekalkan simpanan mereka dalam Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai jihad ekonomi.

Beliau memberi jaminan kepada pendeposit TH agar memberi kepercayaan kepada kerajaan PH dengan tidak melakukan pengeluaran panik.

“Saya nak tekankan kepada pendeposit TH bahawa kerajaan beri jaminan kepada simpanan mereka iaitu ‘dolar per dolar’. Saya harap penyimpan jangan panik dengan apa yang berlaku. Wang mereka selamat dan dijamin oleh kerajaan.

“Saya harap jangan ada yang berfikiran untuk keluarkan wang daripada TH, sebaliknya jika ada wang lebih mereka boleh terus menambah simpanan mereka dalam TH,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, tidak timbul isu walaupun kerugian membabitkan TH seperti yang digembar-gemburkan, kerana dari segi simpanan tetap terjamin.

“Jadi saya harap pendeposit TH terus kekal dan terus membantu TH menjadi salah satu institusi Islam paling berjaya di dunia. Kepada umat Islam, anggap tanggungjawab kita pertahankan TH sebagai jihad ekonomi umat Islam,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, BN mendesak polemik kewangan TH disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendedahkan gambaran yang lebih adil dan tepat berhubung dakwaan wujud penyelewengan serta salah urus tadbir institusi berkenaan.

Menurutnya, selaku pembangkang BN tidak akan bertolak ansur dan melindungi sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melakukan penyelewengan dan salah urus tadbir TH.

“Kita bimbang dengan kenyataan pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab atas kedudukan sebenar TH.

“Mereka yang membuat kenyataan itu sentiasa menyalahkan kerajaan dahulu (BN) berhubung kedudukan TH, jadi bagi mendapatkan gambaran yang lebih adil dan tepat, saya minta PAC mengambil langkah pro aktif menyiasat kedudukan TH yang sebenar,” katanya.

Beliau turut menyokong saranan Pemuda UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan TH. – SINAR ONLINE

Leave a Reply