Nasim ambil masa 32 tahun sulam al-Quran

Last Updated on


Al-Quran hasil tulisan tangan dan sulaman Nasim berjaya dipamerkan di Pusat Pameran Al-Quran, Madinah.

MADINAH – ARAB SAUDI. Mengambil masa selama 32 tahun, hasil kerja keras seorang wanita Pakistan membuahkan hasil apabila al-Quran hasil tulisan tangan dan sulamannya berjaya dipamerkan di Pusat Pameran Al-Quran, di sini.

Menurut Nasim Akhtar, 63, dia adalah satu-satunya wanita di dunia yang menjahit tulisan al-Quran dengan tangan tanpa bantuan sesiapa.

“Saya gembira dengan apa yang dilakukan. Saya bermula ketika masih muda dan menamatkannya pada usia 60-an. Ia adalah hasil kerja keras dan dedikasi saya selama ini,” katanya.

Mengakui ia bukanlah kerja mudah, Nasim berkata dia menjahit sepanjang hari dan kadang kala hanya dapat menyiapkan dua baris sahaja kerana perlu berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kesilapan.

“Saya menyalinnya daripada Quran lain. Kadang-kadang hanya dapat siapkan dua baris atau tiga baris. Tidak mudah untuk siapkannya kerana saya terpaksa membaca perkataan itu bagi memastikan tiada kesalahan,” katanya.

Dia juga mahu hasil kerjanya diiktiraf Rekod Dunia Guinness memandangkan tiada lagi Quran disulam menggunakan tangan pernah dibuat sebelum ini.

Bagi melengkapkan al-Quran tersebut, Nasim menggunakan 300 meter kain dan 25,000 meter benang.

Sementara itu, Pegawai Komunikasi Pusat Pameran Al-Quran, Ahmad Zaki memberitahu, Nasim memulakan proses menulis dan menyulam pada Ogos 1987 ketika berusia 30 tahun dan menyiapkannya pada Januari tahun lalu.

“15 tahun pertama dihabiskan untuk menulis al-Quran manakala 17 tahun lagi untuk melakukan sulaman.

“Al-Quran seberat 55 kilogram itu mempunyai 10 volum dengan tiga juzuk bagi setiap volum,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply