Statut Rom: 14 NGO sokong Perdana Menteri

Last Updated on


PUTRAJAYA – Sebanyak 14 NGO Islam hari ini tampil menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda terima kasih atas keputusan kerajaan menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Presiden Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, yang mewakili kumpulan NGO tersebut menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di pekarangan bangunan Perdana Putra, di sini.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Rani berkata, langkah yang diambil Perdana Menteri dan kerajaan itu adalah amat tepat demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Walaupun berdepan desakan pelbagai pihak, Dr Mahathir membuat keputusan berani menarik diri daripada menyertai Statut Rom, satu tindakan yang perlu disokong seluruh rakyat, katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berharap sokongan yang dizahirkan adalah tulen dan berterusan atas kepentingan negara melebihi kepentingan lain.

Jumaat lepas, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada menyertai statut itu berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, namun menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan statut tersebut membahayakan negara. – SINAR ONLINE

Leave a Reply