Empat anggota polis terlibat kes pemerasan dikenal pasti

Last Updated on


Datuk Roslan Bek Ahmad

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur telah mengenal pasti empat pegawai dan anggotanya yang didakwa terlibat dalam kes pemerasan seorang lelaki baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kes tersebut yang melibatkan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 10 April lalu.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, lelaki berkenaan mendakwa telah ditahan oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika dia sedang memandu kenderaannya berhampiran UCSI Taman Connaught pada 9 April lalu.

“Difahamkan anggota terlibat membuat pemeriksaan dan menjumpai dadah di dalam kereta pengadu namun pihak berkenaan menafikan tuduhan itu.

“Malah pengadu turut mendakwa ditumbuk di bahagian muka oleh anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, lelaki terbabit kemudiannya di bawa ke Balai Polis Cheras dan dia mendakwa turut diberi dua pilihan sama ada mahu mengaku bersalah atau membayar wang tunai berjumlah RM500 untuk dibebaskan.

Beliau berkata, pengadu telah membayar wang tersebut dan dia kemudiannya dibebaskan oleh anggota terbabit.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh pegawai atau anggotanya.

“Siasatan diteruskan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan dan menurut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (Pemerasan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Mendatangkan Cedera).

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini boleh berhubung terus dengan ASP Lee Chen Shim (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 016-713 2740, ASP Mohd Hafizee Ismail (Pegawai Penyiasat) di talian 013-358 7571, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – SINAR ONLINE

Leave a Reply