MPM cadang tubuh Panel penasihat Institusi Raja-raja Melayu

Last Updated on


Datuk Hasan Mad

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan Majlis Raja-Raja Melayu dan kerajaan menubuhkan satu panel penasihat kepada Institusi Raja-raja Melayu dalam pelbagai bidang.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad berkata, mekanisme yang berfungsi sebagai panel penasihat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan istana membabitkan kepentingan, kedaulatan Melayu, Islam serta Institusi Raja-Raja Melayu.

“Mengambil contoh daripada tradisi Britain, ‘Privy Council’ adalah badan penasihat kepada raja dan adalah salah satu bahagian tertua dalam pengaturan Perlembagaan Inggeris, dengan asalnya sejak sekurang-kurangnya di abad ke-13.

“Di Britain, ‘Privy Council’ ini menasihatkan Ratu menjalankan tugasnya, termasuk pelaksanaan prerogatif diraja dan fungsi-fungsi lain yang ditugaskan kepada pemerintah oleh akta Parlimen.

“Walaupun beberapa fungsi dan kuasa ‘Privy Council’ ini bersifat upacara rasmi, namun terdapat fungsi berkaitan dengan perkara kepentingan Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar harian, semalam.

Jelas beliau, panel penasihat kepada Institusi Raja-raja Melayu ini disyorkan dianggotai negarawan dihormati masyarakat yang boleh menasihatkan, menyuarakan pandangan, pertimbangan adil serta pengalaman mereka kepada Institusi Raja-Raja Melayu.

“Individu yang dilantik boleh mencermati segala pandangan pakar, ahli akademik mahupun tokoh perundangan dan ekonomi yang ingin menyembah maklum pendirian mereka mengenai sesuatu isu kepada Raja-Raja Melayu,” katanya.

Ujar beliau, panel penasihat bolehlah menapis terlebih dahulu sesuatu isu sebelum dipersembahkan ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, atau kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Selepas itu barulah mereka mengeluarkan nasihat yang berkesan untuk keputusan eksekutif yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu yang bebas, berwibawa serta dihormati kerajaan dan rakyat secara umumnya,” jelasnya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply