Food Bank ringankan kos sara hidup rakyat

Last Updated on


Datuk Seri Dr Wan Azizah (empat dari kiri) bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kiri) melihat sayur-sayuran dan buah-buahan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan pada Majlis Pelancaran Food Bank Malaysia Peringkat Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah hari ini. – FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR – Seramai 85,489 penerima manfaat Program Food Bank Malaysia dari Ogos tahun lalu sehingga Mac 2019 telah menikmati hasil program ini.

Program yang bermatlamat meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan penuntut institusi pengajian tinggi awam ini adalah salah satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas diterajui Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hampir setahun lalu.

Dilancarkan secara rasmi pada 22 Dis 2018, program ini menyasarkan lebihan makanan seperti roti, sayur dan buah-buahan dari beberapa pasar raya besar diagih kepada 186,354 ketua isi rumah (KIR) di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara.

Dengan akses kepada bekalan makanan itu, mereka boleh menjimatkan perbelanjaan pembelian makanan, sekaligus berupaya meningkatkan pendapatan boleh guna untuk perkara penting lain seperti pendidikan dan kesihatan. Selain itu ia juga dapat menyelamatkan 1,156 metrik tan lebihan makanan sejak ia dilaksanakan.

Bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berpendapat program murni itu wajar diperluaskan dengan KPDNHEP menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

Ini kerana apabila KPDNHEP mengetuai usaha ini, kemungkinan untuk mendapat kerjasama pasar raya besar, hotel dan sebagainya akan menjadi lebih mudah.

Bagi tujuan penambahbaikan pula, beliau berharap suatu mekanisme untuk menyelaraskan pengagihan bantuan dengan kerjasama kementerian dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat negeri diwujudkan bagi mengelak pertindihan bantuan sama kepada golongan sasaran.

Ini termasuklah melalui pelarasan dan data yang diperoleh daripada badan-badan terlibat supaya bantuan boleh dipelbagaikan selain memperluas jumlah penerima.

Pensyarah Perniagaan Antarabangsa dan Firma Multinasional di Hiroshima City University, Jepun, Prof Madya Dr Nurhaizal Azam Arif pula melihat Program Food Bank Malaysia sebagai inisiatif yang sememangnya dapat meringankan beban mereka yang tidak mempunyai pekerjaan selain mengurangkan pembaziran makanan.

Ia juga secara tidak langsung mengembangkan konsep perniagaan kepada langkah ‘mesra manusia’ dan ‘alam sekitar’.

Beliau juga menggesa pelbagai pihak supaya turut serta dalam program seumpama itu termasuk menjadikannya sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Beliau berpendapat sistem baucar bagi barangan asas serta keperluan pendidikan atau barangan sekolah boleh diperkenalkan, manakala bagi jangka masa panjang pula, kerajaan perlu melakukan perubahan terutama dalam aspek dasar ekonomi, industri dan pembangunan sosial rakyat selain sektor swasta mewujudkan peluang pekerjaan.

Hal ini demikian kerana ketika ini, penawaran tenaga kerja dengan peluang pekerjaan yang sesuai didapati kurang sepadan, berikutan ramai graduan yang tidak mendapat kerja yang sepatutnya kerana syarat mendapatkan pekerjaan adalah terlalu tinggi selain berbeza dengan bidang kelulusan mereka.

Untuk itu, kerajaan boleh membantu syarikat-syarikat tempatan terutamanya industri kecil dan sederhana untuk menjadi ejen utama yang memangkin penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui inovasi dan teknologi baharu berbanding hanya bergantung kepada pemindahan teknologi oleh firma multinasional asing.

Ini dapat melonjakkan pengeluaran negara ke tahap nilai tambah tinggi dan memberi pendapatan tinggi kepada rakyat berdasarkan produktiviti dan kemahiran mereka.

Leave a Reply