Pendengaran awam RCI Wang Kelian bermula

Last Updated on


Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia memeriksa jenazah yang ditemui di kubur yang tidak ditanda berhampiran Wang Kelian di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand. – Foto fail AP

PUTRAJAYA – Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan Bukit Wang Burma di Wang Kelian, Perlis bermula pagi ini.

Prosiding berlangsung di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, akan didengari di hadapan tujuh panel RCI yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Setakat ini, KDN menetapkan tiga hari untuk pendengaran awam bermula hari ini.

Pada tahun 2015, akhbar tempatan melaporkan penemuan kem rahsia itu yang dipercayai sudah lama beroperasi.

Difahamkan, lebih 150 mayat warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia ditanam di kubur tidak bertanda di Wang Kelian dikeluarkan dari kawasan itu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebelum ini dalam laporannya bertajuk ‘Sold Like A Fish’ itu menemui asas kukuh untuk mempercayai sindiket pemerdagangan manusia melakukan jenayah kemanusiaan di Malaysia dan Thailand ke atas lelaki, wanita dan kanak-kanak Rohingya dari 2012 hingga 2015. – SINAR HARIAN

Leave a Reply