Krisis pelarian di Yaman, satu sejarah hitam buat dunia peradaban moden

Last Updated on

Oleh Abdullah Sadzik

SANA’A dahulunya adalah sebuah bandar metropolitan yang juga merupakan ibu negeri Yaman dengan penduduk mencecah 4 juta orang, jauh melebihi populasi Kuala Lumpur yang hanya sekitar 1.7 juta. Namun konflik peperangan telah membawa kehancuran terhadap kemakmuran bandar tersebut, di mana ramai rakyatnya telah melarikan diri dan hidup sebagai pelarian. Antara kem pelarian yang terdapat di sekitar bandar Sana’a ini adalah kem Darwan dan Azroqoin.

Walaupun bangunan di tengah bandar Sana’a ini hancur dibedil roket jet pejuang, namun kedai di bawahnya masih lagi beroperasi seperti biasa, jelas menunjukkan kecekalan rakyat Yaman yang dambakan kehidupan normal.

Kem Azroqoin ini ditempatkan di sebalik kawasan pembuangan sampah. Lokasi ini dipilih kerana kawasan pembuangan tersebut menjadi tempat mereka mencari bahan buangan yang masih boleh digunakan, dan di kala mendesak, untuk mencari sesuap makanan.

Pada ketika ini, kem ini yang menempatkan 65 keluarga mendapat bantuan bekalan bahan makanan asas dan air bersih melalui sumbangan orang ramai dan NGO. Salah seorang penghuni di kem tersebut, Samir Salim memaklumkan, dia bersama tujuh orang ahli keluarga telah lari dari tempat tinggal asalnya di Taiz akibat peperangan yang meletus di kawasan tersebut.

Ketika kunjungan kami pada jam 9:30 pagi, dia memaklumkan bahawa keluarganya belum bersarapan kerana hanya makan sekali sehari pada waktu tengah hari, itu pun hanya nasi berlaukkan kentang dan tomato. Beliau penuh sebak menceritakan ketika mereka sekeluarga putus bekalan makanan dan terpaksa mengikat perut dan mengemis.

Cik Fatin Nabila, seorang sukarelawan Al-Ain International Malaysia Association sedang menyantuni seorang kanak-kanak di kem pelarian Al-Azroqoin, Sana’a, Yaman.

Beliau turut berkongsi kesedihan kerana saudara-maranya terpisah akibat perang yang tak berkesudahan dan beliau berharap agar peperangan ini dapat segera dihentikan supaya anak-anaknya boleh kembali ke sekolah dan mendapat pendidikan yang sempurna.

Kem Darwan pula terletak jauh sedikit ke kawasan pedalaman. Untuk sampai ke sini, perlu melalui satu sekatan tentera yang sangat ketat. Kem tersebut yang dibina hanya sekitar satu kilometer dari sebuah pasar menjadi tempat tinggal buat kira-kira 400 keluarga pelarian.

Amin Sabit berumur 35 tahun, yang telah mendiami kem tersebut sejak lebih empat tahun yang lalu memaklumkan, dia bersama isteri dan 4 orang anak telah mengambil keputusan untuk lari ke situ setelah tempat tinggal asalnya, Saadah telah rosak teruk akibat serangan bom oleh jet pejuang.

Keadaan bahagian dalam salah sebuah khemah pelarian di kem Darwan, Sana’a, Yaman.

Di dalam serangan tersebut dia telah kehilangan dua orang abangnya. Pada masa kini dia telah menggunakan duit simpanannya untuk menyewa sebuah rumah di Bandar Sana’a bagi menempatkan ibunya dan anak-anak abangnya sedangkan dia sendiri duduk di khemah pelarian itu.

Biarpun mereka ini bergelar pelarian, kem mereka yang terletak hampir dengan kawasan konflik menjadikan bantuan sukar untuk sampai kepada mereka. Sempadan yang dibuka kepada orang awam yang terdekat adalah melalui Salalah, Oman. Satu perjalanan yang jaraknya hampir 2000 kilometer. Diburukkan lagi dengan keadaan infrastruktur yang tidak sempurna, perjalanan ini mengambil masa lebih 40 jam.

Perjalanan melalui laluan udara juga tidak banyak membantu, lapangan terbang terdekat adalah di Sayun, sebuah bandar yang terletak 900 kilometer dari Sana’a. Kehidupan mereka diancam kematian akibat wabak penyakit cholera dan malnutrisi. Kematian akibat malnutrisi sahaja telah meragut nyawa hampir 85,000 kanak-kanak Yaman dan sekiranya tidak dibantu, bakal menjemput lagi 17 juta orang rakyat Yaman.

Tangki yang menjadi sumber bekalan air bersih untuk kira-kira 400 keluarga yang mendiami kem Darwan, Sana’a, Yaman.

Angka UNHCR menganggarkan pada masa kini terdapat dua juta rakyat Yaman yang hidup sebagai pelarian sama ada di negara sendiri atau negara jiran. Kehidupan pelarian yang serba daif ini adalah kesan langsung daripada peperangan yang telah memecah belahkan negara Yaman itu sendiri.

Konflik ini akan menjadi satu sejarah hitam buat dunia peradaban moden sekiranya komuniti antarabangsa mengambil sikap berdiam diri tanpa menyalurkan sebarang bantuan kepada mereka.

*Abdullah Sadzik merupakan jurufoto dan aktivis NGO Al-Ain yang sedang memberikan khidmat kemanusiaan di Yaman.

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply